Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil rakyat DAP, PAS Bangi mahu reda bahang politik, tumpu isu setempat
Diterbitkan:  May 20, 2025 8:29 PM
Dikemaskini: 12:29 PM

Wakil rakyat DAP dan PAS di Bangi dilihat menunjukkan politik matang apabila bersetuju untuk bekerjasama bagi meredakan ketegangan politik dan memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyelesaian masalah penduduk.

Adun Sungai Ramal Shafie Ngah dari PAS dan Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Syehredzan Johan duduk semeja baru-baru ini di Bandar Baru Bangi bagi membincangkan permasalahan rakyat.

Mereka berdua berkongsi tentang pertemuan itu di halaman Facebook masing-masing hari ini.

Shafie berkata dalam pertemuan itu, mereka setuju untuk meredakan bahang perbezaan politik kepartian di Bangi dan memberi fokus kepada pembangunan komuniti dan penyelesaian permasalahan setempat.

Alangkah indahnya bila tangan-tangan yang diberi kuasa ini bersatu dalam mendukung masyarakat, bukan saling menjatuhkan antara satu sama lain.

“Orang Bangi tak suka konflik, kita bekerja dan juga berpolitik dengan cara matang dan sejahtera.

“Waktu berperang hanyalah semasa pilihan raya, Sekarang ni adalah waktu bekerja dan objektif utamanya adalah demi kemenangan rakyat,” kata Shafie.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Amanah Bangi Mazwan Johar.

Sementara itu Syahredzan dalam hantarannya menyifatkan perbezaan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mengeratkan ukhwah.

"Pertemuan pemimpin politik setempat ini diadakan dalam keadaan harmoni.

"Kami bertiga telah bersetuju untuk mengurangkan kehangatan politik kepartian di DUN Sungai Ramal.

"Kami juga bersetuju untuk memberi fokus kepada isu-isu tempatan dan pembangunan komuniti dalam kawasan," kata Syahredzan.

Pada PRU15, Bangi menjadi salah satu kawasan Parlimen terbesar dengan lebih daripada 300,000 pengundi.

Semasa PRN Selangor 2023, kerusi DUN Sungai Ramal sahaja mencatatkan pengundi berdaftar seramai 97,415 orang.

Selain Sungai Ramal, kawasan Parlimen Bangi merangkumi dua lagi DUN, iaitui Kajang dan Balakong dengan kedua-duanya dipegang PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS