Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sedang menyiasat empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki bersubahat membantu warganegara asing melepasi pemeriksaan imigresen dalam antara Jan hingga April lalu.
Dalam kenyataan hari ini, AKPS berkata, empat pegawai terbabit disiasat terkait kegiatan counter setting bagi meloloskan individu tertentu melalui kaunter pemeriksaan tanpa mengikut prosedur sepatutnya.
“AKPS amat memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau individu yang terlibat dalam sebarang salah laku atau perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara,” katanya.
Agensi itu juga menyatakan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk tatatertib terhadap pegawai-pegawai yang terbabit.
Kenyataan sama turut menyatakan AKPS tempoh yang sama mereka turut menahan 25 warga asing ketika mereka cuba keluar dari Malaysia.
Kata agensi itu mereka yang ditahan melibatkan warganegara Vietnam, Kemboja, India, dan Indonesia.
“Mereka ditahan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini dan pengesahan masuk mereka disyaki telah diperoleh tanpa prosedur yang sah.
"Penahanan tersebut adalah hasil daripada pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan oleh AKPS KLIA di sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Menurut AKPS mereka akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta memperkemas mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pintu masuk negara tidak disalah guna oleh mana-mana pihak.
