Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jemaah haji dinasihat guna e-Taib, bukan ChatGPT atau Google

Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya tidak menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT atau bergantung sepenuhnya kepada carian Google dalam mendapatkan panduan berkaitan hukum-hakam ibadah haji dan umrah.

Sebaliknya, pembimbing ibadat haji Tanah Suci (Pihtas) Salmah Sheikh Hassan menyarankan jemaah menggunakan perkhidmatan e-Taib sebagai medium rujukan utama – termasuk ketika berada di kawasan Masjidil Haram – bagi mendapatkan bimbingan yang sahih daripada pembimbing bertauliah.

"Ini soal ibadah, kita mahu pastikan setiap amal kita sempurna serta mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.

“Pernah berlaku situasi jemaah berhenti seketika ketika tawaf, bergerak ke tepi dan menghubungi kami (menerusi e-Taib) kerana was-was sama ada telah melengkapkan tujuh pusingan tawaf atau hanya enam.

"Dalam keadaan begitu, kami akan menasihatkan jemaah untuk mengambil kira enam pusingan dan menambah satu lagi pusingan bagi mencukupkan tujuh sekali gus menghilangkan rasa ragu itu," katanya ketika ditemui media di Makkah.

Sistem e-Taib yang ada dalam aplikasi THhujjaj membolehkan jemaah mengajukan sebarang persoalan menggunakan telefon pintar – termasuk melalui WhatsApp – kepada Pihtas.

Salmah berkata secara purata jemaah akan menerima maklum balas terhadap pertanyaan yang dikemukakan menerusi e-Taib dalam tempoh kira-kira lima minit, bergantung kepada kestabilan sambungan Internet pada waktu itu.

“Namun, apabila capaian Internet berada dalam keadaan baik, petugas Pihtas mampu memberikan maklum balas seawal satu hingga dua minit. Secara purata, pertanyaan jemaah dijawab dalam tempoh kurang 20 minit,” katanya.

Salmah berkata perkhidmatan e-Taib kini dikendalikan empat petugas Pihtas yang bertugas secara bergilir-gilir selama 18 jam sehari sebelum ditambah kepada 24 jam sehari menjelang minggu masyair bagi menampung peningkatan jumlah pertanyaan.

“Setakat ini, e-Taib menerima purata lebih 1,000 soalan seminggu dan dijangka boleh mencecah 4,000 pertanyaan daripada jemaah menjelang musim kemuncak ibadah haji.

“Ini mencerminkan keperluan tinggi terhadap bimbingan secara dalam talian dan respons pantas daripada pembimbing bertauliah.

“Sebahagian besar soalan diterima daripada jemaah wanita, khususnya berkaitan isu haid semasa ihram, larangan ihram, bayaran dam, niat di miqat serta pelaksanaan tawaf,” katanya.

Dia berkata pasukan itu turut dibantu tiga pakar rujuk yang juga ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, dengan seorang daripada mereka ialah Timbalan Mufti Perlis Tajul Urus Abdul Halim.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS