Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Sabah: Perwakilan PKR mahu calon berwibawa, bukan 'calon wahyu'

Perwakilan PKR Sabah, Zaidi Jatil memberi peringatan agar tiada lagi amalan meletakkan calon-calon ‘wahyu’ atau individu yang tidak dikenali rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 17 akan datang.

Sebaliknya, dia mahu pemilihan calon bagi PRN itu berteraskan kepada kriteria integriti, kepercayaan rakyat dan kesungguhan bekerja demi kepentingan negeri.

“Kita tidak mahu lagi ada calon-calon wahyu yang kita tak kenal, yang rakyat tak kenal tiba-tiba menjadi calon PRN Sabah.

“Calon mestilah memiliki kriteria yang disayangi rakyat, dipercayai dan bekerja kuat. Rajin turun padang, mendengar keluhan dan mampu memimpin rakyat kepada kebaikan, bukan hanya pandai berkata-kata, memberi harapan, tetapi rupanya tin kosong,” tegasnya ketika berucap dalam sesi perbahasan perwakilan semasa Kongres Tahunan PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di Johor Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut Zaidi berkata kemenangan parti banyak bergantung kepada tawaran kepimpinan yang diyakini dan diterima oleh rakyat.

“Akhirnya strategi kemenangan bergantung kepada siapa yang kita tawarkan kepada rakyat. Siapa calon untuk PRN di Sabah,” katanya.

Menurutnya, calon bukan sekadar lambang parti, tetapi harus menjadi lambang nilai perjuangan sebenar yang membela kepelbagaian etnik dan agama serta membawa aspirasi rakyat Sabah ke hadapan.

Zaidi turut menyeru agar semua pemimpin dan anggota parti kekal berdisiplin dan berjiwa besar dalam menghadapi PRN Sabah.

“Kalau tidak terpilih jadi calon, kita harus memastikan Keadilan bangkit dan menang di Sabah. Jangan ada yang merajuk, jangan ada yang membawa diri. Kita harus memikirkan parti,” katanya lagi.

Tambah Zaidi, PRN Sabah adalah medan ujian penting yang akan menentukan sejauh mana kekuatan dan kesatuan parti dalam membawa perubahan untuk rakyat di negeri itu.

PRN Sabah ke-17 perlu diadakan pada atau sebelum 8 Disember.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS