Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN harap hasil pemilihan PKR kukuhkan hubungan antara parti

Umno berharap semua keputusan yang terhasil daripada pemilihan PKR kali ini dapat memperat jalinan hubungan antara parti itu – serta PH – dengan BN.

Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, juga berkata sebarang perubahan kepemimpinan kerajaan – jika ada – bergantung kepada keputusan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Ia termasuk kemungkinan berlaku rombakan kabinet ekoran laporan yang mendakwa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, mungkin mengosongkan jawatannya selepas tewas dalam persaingan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.

Seorang lagi anggota kabinet yang kalah dalam pemilihan PKR kali ini ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Saya tidak seharusnya campur urusan parti lain.

“Tentunya Datuk Seri Anwar akan melakukan sesuatu yang terbaik agar kerajaan sedia ada dan anggota jemaah menterinya dapat bergerak terus seiring sejalan untuk menentukan pengukuhan kerajaan Madani ini," kata Ahmad Zahid.

Dia yang juga timbalan perdana menteri ditemui media selepas merasmikan Eastern International TVET di Kuantan, Pahang, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah Anwar yang dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru, serta naib-naib presiden parti itu bersama ahli majlis pimpinan pusatnya.

Ditanya sama ada Umno akan meminta dua jawatan menteri jika ia dikosongkan, Ahmad Zahid memberitahu, jawatan tersebut adalah hak PKR dan BN menghormatinya.

"Itu hak mereka (PKR)... kita tidak boleh campur kerana kita tahu batas-batas permintaan kita.

"Tapi kalau jawatan itu nak diberikan kepada Umno, kita menadahkan sebuah padang bola untuk menerima tawaran itu," katanya.

Dia bagaimanapun menegaskan Umno tidak tamak dan akan meminta jawatan tersebut.

"Kita (BN) bersyukur kerana kita ada tujuh orang menteri Umno dalam barisan jemaah menteri sekarang," jelasnya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, tidak wajar bagi mana-mana pihak mengaitkan Umno dengan amalan nepotisme kerana sesebuah parti mempunyai “padang” yang berbeza.

"Lain padang, lain belalang. Padang kita adalah Umno dan BN, maka kita harus jangan melihat kepada padang di tempat lain," katanya ringkas.

Dia ditanya berkenaan hal itu ekoran wujud polemik mengenai amalan nepotisme semasa kempen pemilihan PKR berlangsung baru-baru ini, khususnya melibatkan Nurul Izzah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS