Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong tidak akan keluar parti, kata orang kuat Rafizi
Diterbitkan:  May 26, 2025 11:41 AM
Dikemaskini: 4:38 AM

Penyokong bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli tidak akan bertindak terburu-buru termasuk keluar parti susulan kekalahan menteri ekonomi itu pada pemilihan parti berkenaan, Jumaat lalu.

Naib Presiden PKR, Aminuddin Harun berkata dia percaya kekecewaan Rafizi dan penyokongnya tu tidak akan berpanjangan sehingga menjejaskan kestabilan parti dan yakin situasi dalam PKR akan kembali pulih.

"Mereka (penyokong Rafizi) tidak akan keluar parti tetapi melihat strategi yang boleh dimainkan di peringkat ranting dan cabang sebagai langkah ke hadapan.

"Saya sebahagian daripada orang kuat Datuk Seri Rafizi dan saya yakin mereka akan mengambil masa sedikit untuk tenang dan memberikan sokongan semula kepada PKR," katanya yang dipetik oleh portal Harian Metro.

Aminuddin Harun

Malah, menteri besar Negeri Sembilan itu percaya, Rafizi dan penyokongnya cuma memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum bangkit semula bersama parti meneruskan perjuangan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, perbezaan pendapat adalah perkara biasa dalam politik terutama dalam parti yang mengamalkan demokrasi seperti PKR.

"Walaupun pemilihan telah berakhir dua hari lalu namun isu Rafizi tewas masih terus diperdebatkan dan dibincangkan di media sosial.

“Ia perlu kita tangani secara matang dan terbuka.

"Segala kelemahan perlu diperbaiki dengan mengambil kira semua pandangan disuarakan untuk memastikan PKR terus menjadi sebuah parti yang betul-betul membawa aspirasi rakyat," katanya.

Jumaat lalu, pada Pemilihan PKR peringkat pusat, Rafizi gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden apabila dikalahkan oleh Nurul Izzah Anwar.

Anak sulung perdana menteri itu dan Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Ismail memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan kedua tertinggi kepimpinan parti itu, yang hanya meraih 3,866 undi.

Pemilihan itu juga menyaksikan Aminuddin berjaya mempertahankan jawatan sebagai naib presiden PKR daripada 12 calon yang bertanding jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, PKR tidak akan mengambil mudah pelbagai pandangan daripada pemimpin dan ahli akar umbi parti seperti disuarakan sepanjang tempoh kempen dan semasa pemilihan parti.

Menurutnya, kepemimpinan parti perlu merangka strategi dan berusaha mengatasi pelbagai perkara yang dibangkit atau diperbincangkan termasuk di media sosial.

"Walaupun pemilihan parti sudah berakhir, melihat di pelbagai media sosial, pelbagai perkara masih diperdebatkan. Saya lihat pimpinan PKR perlu rangka strategi dan memberi penerangan yang baik. Kita tidak boleh ambil mudah komen daripada rakyat.

"Kita perlu perbaiki apa jua pandangan dan bekerja lebih kuat daripada apa yang ada sekarang dalam menuju pilihan raya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS