Laporan polis terhadap Umno
Seorang ahli Umno hari ini membuat laporan polis terhadap parti tersebut kerana mendakwa berlaku perancangan peringkat tertinggi untuk menghalang bekas presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad daripada menghadiri sebagai perwakilan dalam perhimpunan agung tahun lalu.

Dalam laporannya itu, Johari Ismail, seorang ketua Umno di peringkat bahagian di Johor, mendakwa, pada 28 Ogos 2006, Majlis Tertinggi Umno telah membuang tiga halaman minit mesyuaratnya sebelum itu yang membincang cara-cara untuk menghalang Dr Mahathir daripada menjadi perwakilan.
Beliau mendakwa, tiga halaman minit tersebut dibuang atas arahan Presiden Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Johari membuat laporan tersebut di balai polis Dang Wangi di Jalan Campbell, Kuala Lumpur.
Pada masa itu, Dr Mahathir mengkritik hebat kepimpinan Abdullah yang dipilihnya untuk menggantikan beliau sebagai perdana menteri. Bekas perdana menteri itu mendakwa penggantinya itu tidak mengurus ekonomi negara dengan baik dan berlaku amalan rasuah.
Dr Mahathir bagaimanapun tewas dalam pemilihan perwakilan bagi Umno bahagian Kubang Pasu. Bekas presiden Umno itu kemudian mendakwa beliau tewas kerana berlaku politik wang.