Sebuah syarikat dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melupuskan bahan buangan terjadual secara haram di Port Dickson tahun lepas.
Syarikat Nature Energy Products Sdn Bhd bersama dua pengarahnya S Sivanathiran, 62, dan Chan Kwai Soon, 47, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Sivanathiran merupakan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.
Syarikat itu bersama kedua-dua OKS didapati meletakkan bahan buangan terjadual iaitu buangan pelarut organik bukan terhalogen – seperti dalam Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 – tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada ketua pengarah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 11224, Mukim Jimah, Port Dickson pada jam 4.30 petang 14 Okt 2024 dan melanggar Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34B (4) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta.
Timbalan Pendakwa Raya JAS Nurliyana R Azmi mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap seorang OKS beserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili Sivanathiran dan Chan kemudian memohon agar tiada jaminan dikenakan terhadap anak guam mereka atas alasan tiada indikasi menunjukkan OKS tidak akan hadir ke mahkamah, selain mereka memberikan kerjasama baik.
Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS, beserta syarat tambahan melapor diri di JAS Negeri Sembilan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau melalui orang ketiga.
Sebutan semula kes ditetapkan 3 Julai ini.
- Bernama
