Dua individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes serangan simbah asid terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, Bachok di Kelantan dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata suspek masing-masing seorang wanita berusia 38 tahun dan lelaki berusia 45 tahun sebelum ini direman selama tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, kedua-dua suspek belum dituduh. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kimia dan Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia berkata polis turut mengesan seorang lagi individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian dan disyaki masih berada di negeri itu.
Pada 17 Mei lalu, seorang peniaga wanita disimbah sejenis cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali ketika berada berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang.
Mangsa mengalami kecederaan melecur pada bahu, belakang, lengan dan kaki, dan kini dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dalam keadaan stabil.
-Bernama
