Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Beng Hock: Loke tak jawab desakan menteri DAP letak jawatan
Diterbitkan:  May 29, 2025 8:33 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengelak daripada menjawab soalan jika menteri-menteri dari parti itu akan meletakkan jawatan susulan keputusan “tiada tindakan lanjut” (NFA) dalam kes Teoh Beng Hock.

“Fokus perkara ini dulu. Hari ini adalah mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF),” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada Ahad lalu, Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi menggesa lima menteri DAP letak jawatan sebagai protes terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara yang mengklasifikasikan siasatan kematian Teoh sebagai NFA.

Lima menteri tersebut – Loke, Gobind Singh Deo, Nga Kor Ming, Steven Sim dan Hannah Yeoh – seharusnya bertanggungjawab atas kegagalan parti mereka menunaikan janji untuk menegakkan keadilan dalam kes Teoh, kata pengerusinya Ng Yap Hwa.

Pada Khamis lalu, peguam Ramkarpal Singh, yang juga ahli Parlimen DAP dan adik kepada Gobind, mempersoalkan keputusan AGC, dengan menekankan pihak berkuasa gagal memaklumkan keluarga Teoh secara langsung, sebaliknya keputusan itu hanya disampaikan oleh pihak polis.

Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menulis surat kepada Ramkarpal pada 20 Mei untuk memaklumkan keputusan AGC itu, yang menurut polis diputuskan pada 19 Mei.

Tiada rombakan kabinet

Apabila ditanya mengenai kemungkinan rombakan kabinet, Loke menjelaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim belum memaklumkan apa-apa berkenaan perkara itu.

“(Saya) ada perjumpaan dengan perdana menteri tadi, pada pukul dua. Sebab itu saya lewat.

“Saya tak dimaklumkan ada perubahan menteri. Dia kata menteri pengangkutan kekal,” katanya lagi.

Semalam, Rafizi Ramli telah mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi. Ia disusuli dengan Nik Nazmi Nik Ahmad beberapa jam kemudian untuk jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.

Langkah itu selepas mereka tewas dalam pemilihan parti PKR. Rafizi tewas untuk jawatan timbalan presiden manakala Nik Nazmi untuk jawatan naib presiden.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS