PN menggesa Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar campur tangan dalam usaha Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memohon kekebalan bersyarat (conditional immunity) atas kapasitinya sebagai Ketua Kerajaan dalam kes saman yag difailkan terhadapnya.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata, Mohd Dusuki harus bertindak menjaga kedaulatan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan sumpah jawatannya bagi mengelak duluan kehakiman (judicial precedent) berbahaya.
"Jika prinsip kekebalan ini disalah guna atau digunakan secara terpilih, ia bukan sahaja mencemarkan kredibiliti institusi perdana negara, tetapi membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru Takiyuddin berkata, peguam megara perlu campur tangan segera dalam isu ini, sama ada sebagai pencelah (intervenor) mahupun sahabat mahkamah (amicus curiae) dalam prosiding permohonan tersebut.
Katanya, Mohd Dusuki juga perlu meneliti kesahihan permohonan kekebalan yang dibuat Anwar dari segi undang-undang dan perlembagaan.
“(Dia harus) Mengelak duluan kehakiman (judicial precedent) berbahaya yang boleh melemahkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin politik di hadapan undang-undang.
"Kedaulatan undang-undang adalah asas kepada demokrasi. Tiada siapa pun – hatta perdana menteri – yang boleh dikecualikan daripadanya.
"Pengawal Perlembagaan bukan alat kuasa - dia adalah benteng terakhir rakyat dari kezaliman," jelasnya.

Kenyataan itu dibuat susulan tindakan Anwar memfailkan permohonan ke mahkamah minggu lalu yang dilaporkan bertujuan merujuk lapan persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada dia mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Yusoff Rawther.
Yusoff memfailkan saman sivil terhadap Anwar pada tahun 2021 dengan mendakwa perdana menteri itu melakukan serangan seksual terhadapnya di pejabat presiden PKR pada Oktober 2018.
Anwar kini memohon Mahkamah Persekutuan membuat keputusan muktamad sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan dia kekebalan bersyarat terhadap tindakan undang-undang yang dikemukan Yusoff.
Anwar juga meminta mahkamah memutuskan sama ada kebenaran agar saman itu diteruskan akan menjejaskan keupayaannya untuk melaksanakan tanggungjawab eksekutif secara berkesan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Sementara itu, Takiyuddin berkata jika Anwar merasakan dakwaan Yusoff terhadapnya adalah tidak berasas, dia boleh menggunakan prosedur undang-undang sedia ada.
"PN berpandangan sekiranya Perdana Menteri merasakan saman terhadap beliau tersebut tidak berasas, beliau boleh mengikut undangundang di peringkat awal lagi membuat permohonan untuk membatalkan (application to struck out) saman tersebut atas perbagai alasan, antaranya saman tidak mempunyai sebarang kausa tindakan yang menasabah (no reasobable cause of action), bersifat remeh temeh (frivolous and vexatious), penyalahgunaan proses mahkamah (abuse of court process), tidak mengikut prosedur yang betul (procedural noncompliance) dan seumpamanya," katanya.
