Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah usah hipokrit, Rafizi bukan bagus sangat - Puad
Diterbitkan:  May 30, 2025 12:32 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi menasihati timbalan presiden PKR yang baru, Nurul Izzah Anwar agar menghentikan "drama politik" selepas Rafizi Ramli tersingkir daripada jawatan itu dalam pemilihan PKR baru-baru.

Dalam hantaran di Facebook Mohd Puad berkata Izzah seharusnya menjelaskan secara khusus apakah idea Rafizi yang dikatakan bagus untuk negara selama menyandang jawatan menteri ekonomi.

"Nurul Izzah kata dasar dan idea Rafizi akan diteruskan. Saya tanya Nurul Izzah apa dia idea Rafizi yang bagus sangat untuk rakyat atau negara? PADU? Turun harga kereta?

"Izzah perlu lebih spesifik apa dia gagasan Rafizi yang telah mengubah wacana negara? Beri satu contoh khususnya dalam tadbir urus dan keadilan ekonomi.

"Jangan hipokrit. Saya setuju dengan Nazri Aziz. Tidak perlu pujuk macam Rafizi itu bagus sangat. Kurangkan drama politik," kata Mohd Puad.

Pada 28 Mei lalu, Rafizi mengumumkan meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi berkuatkuasa 17 Jun ini.

Pengunduran itu dibuat selepas dia tewas kepada Nurul Izzah dalam pemilihan PKR baru-baru ini – yang menurut Rafizi, memberi isyarat jelas bahawa dia tidak lagi mempunyai mandat politik untuk memegang jawatan menteri.

Selain Rafizi, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad turut meletakkan jawatan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam selepas gagal mempertahankan jawatan naib presiden PKR.

Semalam veteran Umno, Nazri Aziz berkata tindakan Rafizi meletakkan jawatan menteri ekonomi adalah wajar dan bekas timbalan presiden PKR itu tidak perlu dipujuk.

Kata Nazri, kenyataan berjela-jela Rafizi berkaitan keputusan itu mungkin mempunyai muslihat agar dia dipujuk tidak meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata Izzah sepatutnya berterus terang dengan mengatakan Rafizi tidak lagi diperlukan PKR.

"Cakap sahaja bahawa Rafizi tidak diperlukan sebab itu kamu lawan dia. Beritahu Presiden ganti segera Rafizi dan Nik Nazmi. Ganti dengan yang lebih bagus. “Move forward and move fast”," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS