Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan (PH).
Menurut satu sumber dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), pertemuan itu bagi membincangkan isu-isu mendesak dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Pertemuan berlangsung di PMO (Pejabat Perdana Menteri) selama sejam antara pukul 2 petang hingga 3 petang.
"Selain itu, PM mendapatkan maklum balas mengenai beberapa perkara terkait isu-isu rakyat dan persiapan PRN Sabah, beliau juga memberi status terkini berhubung Asean- China- Majlis Kerjasama Teluk (GCC)," kata sumber itu.
Menurutnya, antara yang hadir ke pertemuan itu adalah Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Presiden Amanah Mohamad Sabu, timbalan presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa, timbalan presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail.
Sumber itu juga berkata selepas pertemuan dengan pemimpin, Anwar turut mengadakan perjumpaan dengan biro politik PKR.
"Pertemuan ini adalah sebahagian janji Anwar untuk meluangkan sehari dalam seminggu berjumpa pemimpin parti.
"Baru-baru ini, presiden (PKR) janji akan berjumpa pemimpin politik. Jadi semalam beliau berjumpa dengan pemimpin politik dari PH dan PKR," katanya.
Pada Kongres PKR sebelum ini, Anwar berkata akan membahagikan masa dalam tugasan membangunkan negara dan memperkasa kekuatan PKR.
Katanya, usaha itu termasuk memantapkan hubungan dan kerjasama antara parti-parti dalam PH.
