Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan satu sindiket membawa keluar lebih 1,300 burung eksotik yang didalangi dua lelaki warga tempatan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata cubaan menyeludup burung bernilai RM100,000 ke negara jiran itu gagal setelah bot fiber dinaiki suspek berjaya dipintas APMM kira-kira jam 1 pagi.
“Selepas ditahan dan pemeriksaan dilakukan terdapat 114 bakul berisi lebih 1,300 burung murai batu serta murai kampung.
“Kedua-dua suspek berusia 26 dan 27 tahun juga gagal mengemukan dokumen kebenaran membawa keluar hidupan liar.
“Mereka dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Mohammad Zaini kejayaan tersebut merupakan hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan di perairan Tanjung Laboh yang dipercayai menjadi lokasi transit utama sindiket penyeludupan hidupan liar.
Katanya cubaan menyeludup tersebut dilakukan kerana terdapat permintaan yang tinggi.
Mohammad Zaini berkata APMM mendapati sindiket terbabit menggunakan bot kecil yang bergerak pada waktu malam bagi mengaburi pihak berkuasa.
- Bernama
