Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno terima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul
Diterbitkan:  May 31, 2025 2:12 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Umno telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai ahli majlis kerja tertinggi parti itu, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Presiden Umno itu surat berkenaan dihantar Tengku Zafrul kepada Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan.

“Semalam apabila kita semak, tiada (terima surat), tetapi pada pagi tadi apabila kita semak semula surat tersebut telah dihantar kepada Mohd Sumali.

“Kita (Umno) terima surat peletakan jawatan dan keluar keahlian sebagai ahli Umno,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui selepas program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pragawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Sarawak di Serian, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MKT Umno, Ketua Umno Kota Raja dan ahli Umno.

Tengku Zafrul berkata dia menyatakan niat untuk menyertai PKR kepada presiden parti itu, Anwar Ibrahim, dan setiausaha agungnya Fuziah Salleh.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berharap, Anwar dengan prerogatif sebagai perdana menteri dapat mengembalikan semula kuota tujuh menteri penuh di dalam kabinet Persekutuan kepada Umno susulan tindakan Tengku Zafrul.

“Bagi saya yang lebih penting ialah Umno diwakili tujuh orang menteri dalam kabinet, walaupun kita tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul (sebagai menteri) dilakukan atas kapasiti Umno atau sebaliknya, tetapi anggapan kita beliau daripada Umno.

“Jika begitu, sekarang Umno tinggal hanya enam menteri penuh, dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar Umno maka layaklah Umno memohon satu kerusi supaya diberi kepada kita,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata dia akan meminta pandangan penasihat undang-undang Umno untuk melihat sama ada Tengku Zafrul telah melanggar perjanjian ditandatanganinya semasa menjadi calon BN pada PRU ke-15 lalu.

“Untuk calon dalam PRU lepas, jika mereka keluar parti maka mereka boleh didenda RM100 juta berdasarkan akuan sumpah mereka. Tengku Zafrul bertanding, tetapi beliau kalah dan dilantik semula sebagai senator.

“Jadi saya perlu periksa dulu dengan penasihat undang-undang Umno,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS