Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perpaduan satu kemestian, bukan pilihan - Anwar
Diterbitkan:  Jun 2, 2025 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Perdana Menteri hari ini menegaskan perpaduan nasional bukan sekadar satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan utama untuk memastikan kelangsungan pembangunan negara.

Menurut Anwar Ibrahim perpaduan itu menjadi asas kepada pembangunan sebuah negara selain menjadi pemangkin kepada kemajuan Malaysia.

“Malaysia hanya akan terus teguh jika kita kukuh berpadu.

“Kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan. Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan, ia adalah keperluan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.

Berangkat pada istiadat itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir, isteri perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan Yang di-Pertua Dewan Negara Awang Bemee Awang Ali Basah.

Tidak ketinggalan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan anggota jemaah menteri.

Anwar berkata kerajaan di bawah naungan dan titah pandu Sultan Ibrahim akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip-prinsip Madani.

“Pembangunan kebendaan semata-mata tentunya tidak mencukupi. Malah, mesti diseimbangkan dengan nilai-nilai manusiawi, keadilan sosial dan karamah insaniah,” katanya.

Anwar berkata pembangunan prasarana dan kemudahan awam tidak terbatas kepada projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sahaja, sebaliknya turut melibatkan sekolah, hospital dan jaringan pengangkutan perlu diperbaiki, dinaik taraf serta ditingkatkan.

“Rakyat tidak hanya dijanjikan harapan, tetapi juga dibela secara nyata dan berterusan,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat akan terus digerakkan melalui reformasi struktur ekonomi, kemasukan pelaburan berkualiti tinggi serta pengukuhan ekosistem teknologi dan inovasi.

Anwar berkata setiap anak watan harus berpeluang untuk maju, tanpa mengira latar belakang kaum atau budaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS