Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zelenskyy: Ukraine, Rusia setuju adakan pertukaran tawanan perang baru

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Isnin mengumumkan bahawa Moscow dan Kyiv bersetuju untuk mengadakan satu lagi pusingan pertukaran tawanan perang, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap pada sidang media di Vilnius, ibu negara Lithuania, Zelenskyy berkata delegasi kedua-dua pihak telah bertukar dokumen melalui Turkiye dalam satu mesyuarat yang diadakan di Istana Ciragan, Istanbul.

“Kami sedang membuat persiapan bagi pembebasan tawanan perang,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Ukraine Rustem Umerov berkata Ukraine mengemukakan tiga perkara utama dalam rundingan itu, iaitu gencatan senjata, pembebasan rakyat Ukraine termasuk tawanan dan kanak-kanak yang diculik, serta pertemuan antara pemimpin.

“Setakat ini, hanya aspek pertukaran yang telah dipersetujui. Butiran lanjut akan diberikan kemudian,” katanya.

Istanbul sebelum ini turut menjadi tuan rumah rundingan pada 16 Mei lepas yang menyaksikan pertukaran tawanan terbesar antara kedua-dua negara sejak konflik bermula, yang kini memasuki tahun keempat.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS