Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM dapat izin bekukan lebih RM750j harta Daim, isteri
Diterbitkan:  Jun 3, 2025 2:21 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekukan beberapa harta milik Na'imah Abdul Khalid yang juga isteri bekas menteri, Allahyaryam Daim Zainuddin.

SPRM membuat permohonan tersebut secara ex-parte (sebelah pihak) di mahkamah berkenaan.

Membabitkan nilai lebih RM758 juta (£132 juta), BH Online melaporkan, aset Na’mah dan keluarganya yang dibekukan ialah tujuh hartanah termasuk tiga unit kediaman mewah di London.

Satu lagi ialah akaun bank wanita terbabit.

Langkah tersebut diambil SPRM ekoran siasatan agensi terbabit terhadap Daim dan Na’imah berhubung Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya yakin masih ada harta lain milik Daim dan Na’imah di luar negara namun tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa seperti yang diarahkan.

Katanya, dimiliki ahli keluarga pasangan terbabit atau proksi Daim.

Sebelumnya SPRM membekukan harta lain Daim bernilai RM2 bilion.

Sementara itu Bernama melaporkan perintah kebenaran itu dikeluarkah hakim Azhar Abdul Hamid.

Aset yang dibekukan itu, lapor agensi berita nasional berkenaan, ialah dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court, tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate, dua unit kediaman di Gloucester Place dan satu akaun bank CAF Bank Limited (UK) yang didakwa milik The Ilham Foundation.

Pada 22 Mei lalu, Azam mendedahkan lapan kertas siasatan dibuka berdasarkan maklumat baru yang diterima SPRM daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Daim, keluarga serta proksinya.

Azam berkata maklumat terbaru menunjukkan pemilikan aset Daim, keluarga dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan pada 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS