Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir sendiri hadir mesyuarat ‘ampun Anwar’ - AGC
Diterbitkan:  Jun 3, 2025 4:33 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata perdana menteri sebelum ini Dr Mahathir Mohamad sendiri hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan mengampunkan Anwar Ibrahim.

AGC membuat penjelasan itu selepas beredar video dakwaan Mahathir bahawa tiada mesyuarat berlangsung, yang menimbulkan persoalan berkaitan kesahan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebelum ini.

AGC berkata mesyuarat Lembaga Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51 diadakan pada 16 Mei 2018, jam 11 pagi, di Istana Negara, Kuala Lumpur. 

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut telah dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V dan turut dihadiri antaranya oleh YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad sendiri selaku perdana menteri pada masa itu,” menurut AGC.

Anwar ketika dibebaskan pada hari sama

Ahad lalu pemimpin pembangkang berkongsi rakaman video kenyataan Mahathir, yang antaranya berkata dia menandatangani dokumen berkaitan pengampunan Anwar tanpa mesyuarat Lembaga Pengampunan dan tanpa nasihat peguam negara.

Dalam kenyataan hari ini, AGC berkata Sultan Muhammad bertitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh oleh Anwar dibenar dan dia diberikan pembebasan serta-merta mulai tarikh persidangan lembaga itu.

Katanya peguam negara juga memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras dengan Fasal (9), Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.

“AGC memandang serius perkara ini sebagai isu yang melibatkan kepentingan perlembagaan dan institusi. 

“AGC juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat mengenai keputusan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar sama sekali.

Anwar sebelum itu dihukum penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari pada 2008. 

Dia menafikan pertuduhan itu dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada komplot politik bagi menjatuhkannya.

Dia diberikan pengampunan penuh oleh Seri Paduka tidak lama selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pusat buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS