Paling Popular
Terkini

Sejumlah pemimpin Umno dilihat menyertai lawatan kerja empat hari Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ke United Kingdom yang bermula pada 1 Jun lalu.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik di media sosial, Malaysiakini menganggarkan sekurang-kurangnya 12 pemimpin Umno kini berada di kota London.

Tiga daripada mereka merupakan pegawai Zahid sendiri – setiausaha politik Megat Zulkarnain Omardin (Ketua Umno Selangor), Razlan Rafii (Ketua Umno Seputeh) dan setiausaha akhbar Fadzmel Fadzil (exco Pemuda Umno).

Bekas Ketua Pemuda MCA yang juga pegawai khas Zahid, Nicole Wong, turut menyertai rombongan tersebut.

Turut serta ialah Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang berada di sana atas kapasiti sebagai pengerusi Mara – jawatan yang berkait rapat dengan portfolio Zahid sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Asyraf Wajdi di United Kingdom

Namun, lapan lagi pemimpin Umno yang dikenal pasti Malaysiakini didapati tiada kaitan langsung dengan jawatan Zahid, sama ada sebagai timbalan perdana menteri mahupun kementerian yang diketuainya.

Mereka ialah:

  • Nazifuddin Najib – Pengerusi Umno Langkawi

  • Sharkar Shamsudin – Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, speaker DUN Pahang

  • Shahaniza Shamsuddin – Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, pengerusi Umno Maran, ahli Lembaga Matrade

  • Nurul Amal Mohd Fauzi – Ketua Puteri Umno

  • Jalaluddin Alias – Ahli Parlimen Jelebu, Pengerusi Umno Negeri Sembilan

  • Shahar Abdullah – Ahli Parlimen Paya Besar, pengerusi Umno Paya Besar

  • Abdul Mutalif Abdul Rahim – Pengerusi Umno Petaling Jaya

  • Ab Hamid Nazahar – Pengerusi Umno Kuantan

Kebanyakannya dilihat dalam gambar yang dimuat naik oleh Shahaniza semasa pertemuan Zahid dengan Kelab Umno United Kingdom yang difahamkan berlangsung semalam.

Beberapa pemimpin lain turut dilihat hadir ketika Zahid menyampaikan ucapan di University College London semalam, berkaitan kepimpinan Malaysia dalam agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Asean.

Pertemuan dengan Kelab Umno United Kingdom

Bagi Shahar pula, media sosialnya menunjukkan dia berlepas ke London secara berasingan dan tiba pada 29 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah itu berkata, dia akan hadir mesyuarat bersama agensi kewangan, badan pemikir, pusat kajian ekonomi, serta warga Malaysia yang bekerja di syarikat antarabangsa di sana.

Bagaimanapun, tidak jelas jika para pemimpin Umno lain yang tiada kaitan dengan jawatan Zahid atau agensi berkaitan turut terbang secara berasingan atau bersama-samanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata para pemimpin Umno mengeluarkan belanja sendiri untuk perjalanan tersebut.

“Kecuali pegawai (Zahid), yang lain bayar dengan duit poket sendiri. Mereka tidak menerima sebarang perbelanjaan daripada Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,” kata Megat kepada Malaysiakini.

Lawatan kerja empat hari Zahid itu bertujuan memperkukuh hubungan Malaysia-United Kingodm dengan tumpuan kepada TVET, pelancongan dan pelaburan.

Dia dijadual melancarkan kempen Visit Malaysia 2026 bagi pasaran United Kingdom hari ini.

Zahid dijangka berlepas ke Geneva selepas itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS