Pemimpin Umno yang dilihat bersama Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan ke London tidak menerima sebarang perbelanjaan daripada kerajaan.
Menurut Setiausaha Politik Ahmad Zahid, Megat Zulkarnain Omardin, ramai pemimpin Umno yang menyertai rombongan tersebut menggunakan wang mereka sendiri.
“Kecuali pegawai (Zahid), yang lain bayar dengan duit poket sendiri. Mereka tidak menerima sebarang perbelanjaan daripada Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,” kata Megat kepada Malaysiakini.
Katanya, sebahagian pemimpin Umno yang dilihat menghadiri acara bersama presiden parti itu di United Kingdom berada di negara itu kerana bercuti.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan ramai pemimpin Umno dilihat mengiringi Ahmad Zahid dalam lawatan kerja selama empat hari ke UK yang bermula pada 1 Jun.

Berdasarkan foto yang dimuat naik di media sosial, Malaysiakini menganggarkan sekurang-kurangnya 12 pemimpin Umno kini berada di London.
Tiga daripada mereka ialah pegawai Ahmad Zahid termasuk Megat yang juga Pengerusi Umno Selangor dan Razlan Rafii (Ketua bahagian Umno Seputeh), serta setiausaha akhbar Fadzmel Fadzil (Exco Pemuda Umno).
Seorang lagi yang menyertai rombongan itu ialah Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki atas kapasitinyasebagai Pengerusi Mara – jawatan yang berkait rapat dengan portfolio Ahmad Zahid dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.
Lapan lagi pemimpin Umno yang dikenal pasti oleh Malaysiakini tidak mempunyai kaitan langsung dengan pejabat Timbalan Perdana Menteri atau kementeriannya.
Lawatan kerja selama empat hari itu bertujuan memperkukuh hubungan Malaysia-UK, dengan tumpuan kepada latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), pelancongan serta pelaburan.
Ahmad Zahid dijadualkan melancarkan kempen Melawat Malaysia 2026 untuk pasaran UK hari ini sebelum meneruskan perjalanan ke Geneva.
