Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, diminta “berundur secara terhormat” jika dia merasakan perjuangannya dalam PKR kini tidak lagi seiring.
Gesaan itu muncul susulan kenyataan Wong di Facebook yang mengkritik kerajaan Madani kerana melakukan "begitu sedikit pembaharuan" berbanding usaha yang dilakukan PKR untuk berkuasa sebelum ini.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua PKR Subang, Wan Hasifi Amin, berkata mereka telah hilang keyakinan terhadap Wong apabila didakwanya tidak menghadiri mesyuarat bahagian itu sejak tiga tahun lalu.
“Sebagai jentera akar umbi, kami di PKR Cabang Subang ingin menyatakan kekecewaan dan hilang keyakinan terhadap Wong Chen kerana langsung tidak menghadiri mesyuarat PKR Cabang Subang sejak selepas pemilihan kepimpinan PKR 2022.
“Sehingga kini tiada penubuhan jawatankuasa PH Parlimen Subang yang sewajarnya menjadi wadah kerjasama antara komponen parti di peringkat kawasan Subang ini,” katanya.
Wan Hasif berkata dia juga tidak mahu PKR Subang dipinggirkan dan mahu ahli parlimen yang bersedia turun padang bersama akar umbi, mendengar suara rakyat dan memperkukuh semangat perjuangan, bukan menjauhi barisan akar umbi.
Semalam, Wong menerusi satu catatan di Facebook mengumumkan dia bercuti dua minggu di Perancis untuk berehat bersama keluarga sambil menilai masa depan politiknya.
“Saya menantikan masa berkualiti bersama anak-anak, berehat dan merenung masa depan saya dalam politik.
“Begitu banyak masa (15 tahun) dan usaha telah dicurahkan untuk mendapatkan kuasa, namun kini saya tidak dapat mengelak daripada merasa bimbang yang amat sangat kerana kita begitu kurang menunjukkan hasil reformasi.
“Saya tahu kita mampu melaksanakan lebih banyak reformasi dan satu-satunya cara ialah kita – semua ahli parlimen – mesti mendesak kerajaan dengan lebih tegas dari belakang,” katanya.
Kenyataan Wong itu hadir ketika pentadbiran Madani – yang diketuai oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim – memasuki separuh kedua penggal pemerintahannya sejak mengangkat sumpah jawatan perdana menteri lebih dua tahun lalu.
Wan Hasifi berkata adalah tidak wajar bagi seorang ahli parlimen yang menang tiga kali atas tiket PKR untuk bercuti sebegitu, terutama ketika negara sedang menjalani proses reformasi.
"Jika YB Wong Chen merasakan perjuangan ini tidak lagi seiring, maka satu keputusan yang jelas dan berprinsip perlu dibuat untuk berundur secara terhormat," tambahnya.
Malaysiakini telah menghubungi Wong untuk mendapatkan maklum balasnya.