P'raya: Wanita Umno tuntut kerusi tambahan
Pergerakan Wanita Umno hari ini secara terbuka meminta Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbang memberi tambahan kerusi kepada calon-calon wanita dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Pergerakan Wanita Umno hari ini secara terbuka meminta Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menimbang memberi tambahan kerusi kepada calon-calon wanita dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, wanita berhak menuntut lebih kerusi bagi calon wanita kerana mereka merupakan ahli Umno teramai, iaitu 35,8 peratus atau 1,199,521 orang - daripada sejumlah 3,349,280 ahli Umno.
Katanya, jumlah itu menunjukkan wanita merupakan 35.8 peratus daripada keseluruhan ahli Umno berbanding dengan 30.6 peratus atau 1,027,463 ahli lelaki, 21 peratus ahli Pemuda (704,758) dan 12 peratus ahli Puteri (12.46 peratus).
"Pak Lah selalu menyatakan - (Datuk Seri) Hishammuddin (Hussein) juga mengatakan - mengenai bersikap adil dan sebagainya, (maka) harap wanita mendapat keadilan dari presiden dan dipertimbangan (tambahan kerusi).
"Wanita yang akan jamin kemenangan kita di semua peringkat...jangan kecilkan hati wanita...bagi pihak Wanita, keutamaannya ialah memenangkan semua calon.
"Dalam azam kita itu, harap-harap perhatikan juga (permohonan) Wanita," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhannya di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini.
Sebelum itu, ketika menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh para perwakilan, Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata dalam tempoh 18 bulan - antara Januari 2006 hingga Jun 2007 - sebanyak 1,546 projek perkilangan telah diluluskan yang membabitkan pelaburan RM74.8 bilion.
Pada yang sama, tegasnya, ia turut mewujudkan 710,237 peluang pekerjaan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di projek-projek perkilangan tersebut.
Daripada jumlah tersebut, katanya, 275,582 (38.8 peratus) adalah pekerja mahir, 120,887 penyelia dan pekerja teknikal, 45,215 kakitangan pengurusan, 74,374 kerani/jurujual dan 194,182 (27.3 peratus) pekerja tidak mahir.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.