Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPT terima syor elak perjalanan malam libatkan pelajar

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerima pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan daripada pihak berkaitan bagi mengelakkan tragedi seperti kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi Isnin lalu daripada berulang.

Menteri berkenaan Zambry Abd Kadir berkata antara syor yang diterima termasuklah cadangan supaya perjalanan melibatkan pelajar universiti diadakan hanya pada waktu siang.

“Ada yang mengesyorkan supaya perjalanan bagi pelajar-pelajar universiti dan mahasiswa sekarang ini perlu dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam,” katanya kepada media selepas sesi Makan Tengah Hari Bersama Pengarang Media bersempena dengan Program Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 KPT di Putrajaya semalam.

Mengulas kejadian berasingan, Zambry berkata dia turut dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang dinaiki pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) awal pagi semalam.

“Saya baru dapat maklumat mengenai nahas itu pagi tadi (semalam), tetapi tiada kecederaan,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Semalam, media turut melaporkan sebanyak 28 penumpang termasuk 13 pelajar UMPSA terselamat selepas bas yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah timur pada tengah malam semalam. 

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS