Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pahang haramkan serta-merta penggunaan vape
Diterbitkan:  Jun 11, 2025 3:50 PM
Dikemaskini: 7:50 AM

Kerajaan Pahang hari ini secara rasmi mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri itu.

Keputusan itu diumumkan exco kanan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad, dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa agama negeri di Kuantan, hari ini.

Dia yang memegang portfolio hal ehwal agama Islam, kemajuan desa dan hal ehwal Orang Asli berkata, pendirian dalam hal berkaitan vape sudah difatwakan Pejabat Mufti Pahang dan dirujuk ke pejabat penasihat undang-undang negeri.

"Perkara ini juga sudah dibentangkan dalam mesyuarat exco Pahang pada 14 Mei lalu dan mendapat limpah perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah," jelasnya.

Syed Ibrahim memaklumkan, keputusan mengharamkan penggunaan vape itu juga selaras dengan titah Al-Sultan Abdullah sebelum ini yang mahu kerajaan Pahang mengharamkan penggunaan vape secara menyeluruh.

Al-Sultan Abdullah pada 19 Nov 2024 pernah menyuarakan perkara itu ketika bertitah dalam satu majlis di Kuantan.

"Alat vape ini adalah alat yang merosakkan kesihatan. Saya akan menyuarakan kepada kerajaan supaya vape perlu diharamkan secara total.

"Tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia," titah baginda.

Baginda turut bertitah antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya sama ada pengharaman menggunakan vape itu turut membabitkan pengharaman penjualan peranti itu di semua premis di Pahang, Syed Ibrahim memaklumkan, perkara berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penguatkuasaan dan pelaksanaan.

"Kita (kerajaan negeri) cadangkan supaya penjualan vape ini juga dikurangkan secara beransur-ansur... secara berperingkat, atas kemampuan PBT itu sendiri.

"Cuma kalau boleh mulai tahun depan, kita tidak mahu ada lagi tempat atau premis menjual vape.

"Jadi, nasihat saya, kepada peniaga vape atau rokok elektrik ini, tidak perlu tambah stok yang sedia ada," tegasnya.

Untuk rekod sebelum ini sudah ada empat negeri yang mengharamkan penjualan vape iaitu Johor, Kelantan, Terengganu dan Perak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS