Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seleweng dana lebuh raya: Siasatan dijangka siap tak lama lagi
Diterbitkan:  Jun 12, 2025 1:47 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Laporan siasatan kes penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan sebuah lebuh raya di Lembah Klang dijangka siap dalam masa sebulan atau dua bulan akan datang, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata siasatan itu sedang giat dijalankan dan melibatkan 53 saksi setakat ini.

Katanya semua saksi itu telah selesai dirakam keterangan dan lebih ramai lagi saksi dijangka dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu melengkapkan siasatan.

"Kes ini akan mengambil masa sebulan atau dua untuk disiapkan kerana banyak perkara yang perlu dikaji serta dianalisis dokumen termasuk penyata kewangan," katanya pada sidang media selepas majlis konvokesyen program Penguatkuasaan Undang‑Undang Bertauliah SPRM kali kedua di Bangi hari ini.

Azam berkata proses merakam keterangan seorang individu bergelar Tan Sri pula disambung hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menyita pelbagai aset termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai, dan kediaman mewah dipercayai milik seorang Tan Sri.

Aset tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM32 juta.

Dalam perkembangan lain, Azam menegaskan proses merakam keterangan pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie, dilakukan di Jakarta semalam, bukannya di Bali seperti yang dilaporkan.

Sebelum ini, pasukan penyiasat SPRM dilaporkan berada di Jakarta selama dua hari untuk mengambil keterangan pereka fesyen berumur 39 tahun itu susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga Nov 2022.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS