Riba PTPTN: Memo dihantar kepada menteri
Satu memorandum dihantar kepada Menteri Pendidikan hari ini bagi mendesak kadar faedah empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.
Memorandum ini yang disokong 24 persatuan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) diserah oleh sekumpulan pelajar yang diwakili oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Mohd Fuad Mohd Ikhwan dan Setiausaha Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung Malaysia (Gamis) Faizal Abdul Rahman.
Memorandum tersebut diserahkan dengan tangan kepada pegawai khas kementerian, bagi menteri berkenaan Tan Sri Musa Mohamad, jam 3 petang tadi.
Memorandum itu juga menggesa supaya pihak kerajaan mengadakan perbincangan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Hashim Yahya serta Majlis Fatwa dan Muzarakah Kebangsaan untuk mendapatkan fatwa rasmi bagi perkara berkenaan.
Ia turut mencadangkan agar satu dialog diadakan antara kementerian itu, PTPTN, majlis fatwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), IPT dengan pelajar.
Dua puluh empat persatuan itu sebahagian besarnya pertubuhan pelajar dari universiti-universiti awam, termasuklah Universiti Teknologi Petronas Perak, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Kolej Sultan Zainal Abidin (Kusza) Terengganu, Universiti Multimedia Melaka, Universiti Putra Malaysia Cawangan Terengganu dan Kolej Islam Antarabangsa (Kias).
Dalam memorandum itu, mereka mendakwa kadar itu merupakan "unsur riba" dan bertentangan dengan kaedah pinjaman menurut Islam.
Pinjaman itu juga dianggap mengabaikan kebajikan pelajar dan alasan PTPTN mengekalkan kadar itu sebagai kos pusingan modal adalah "tidak munasabah."
Mereka turut menafikan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsudin dua hari lalu yang mendakwa faedah tersebut sebagai "kos perkhidmatan," seperti turut dinyatakan pada surat tawaran dan perjanjian antara pelajar dengan PTPTN.
"(Alasan) kos perkhidmatan adalah suatu pembohongan semata-mata," memorandum itu dipetik, satu salinannya diperolehi malaysiakini hari ini.
Selasa lalu, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Gamis bercadang bertemu dengan Menteri Pendidikan minggu depan untuk membincangkan isu yang sama. ([#1] Riba PTPTN: Siswa akan jumpa menteri [/#], 16 Jan)
Bagaimanapun, malaysiakini difahamkan kementerian belum lagi menjawab surat persatuan itu yang dikirim minggu lepas.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.