Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi undur? ‘Spekulasi saja, sepatah pun Tok Guru tak sebut'
Diterbitkan:  Jun 13, 2025 1:13 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan spekulasi dan dakwaan yang mengatakan presiden Abdul Hadi Awang mahu berundur daripada jawatannya.

Bahkan tegasnya, bekas duta khas ke Timur Tengah itu masih diperlukan bukan sahaja kepada parti bahkan kepada dunia Islam.

“Saya rasa Tok Guru (Abdul Hadi) perlu dikekalkan, dan saya rasa seluruh ahli PAS setuju bahawa Tok Guru perlu kekal. 

“Saya dalam pertemuan beberapa gerakan Islam pun  mereka menyatakan sangat mengharapkan Tok Guru terus beri pandangan, sumbangan dan pemikiran kepada penyatuan ummah dunia Islam,” katanya kepada media selepas Kuliah Jumaat di Medan Ilmu, Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan yang menyatakan Abdul Hadi berkemungkinan akan berundur daripada jawatannya presiden PAS.

“Yang dikatakan kononnya presiden ada sebut waktu ada pemukiman, saya hadir dan ada bersama. Sepatah pun Tok Guru tak sebut.

“Spekulasi saja, Tok Guru tak sebut apa pun, dan bagi kita Tok Guru masih diperlukan. Orang kata dia uzur, pemimpin ini (yang penting) akal dia, pemikiran dia. 

“Tok Guru ini bukan saja kita, dunia Islam perlukan dia. Ambo (saya) rasa setakat ini, pemimpin negara Islam pada kedudukan nombor satu dari segi konteks pandangan politik adalah Tok Guru presiden,” tambah ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

‘Syaitan jin dan manusia’

Baru-baru ini kumpulan yang menggelarkan diri mereka Geng Ustaz membangkitkan isu adanya cubaan “melanggar presiden” dan menganggapnya sebagai “kudis lama” dalam parti.

Malah Presiden Geng Ustaz, Ahmad Dusuki Abd Rani, turut menggelar pihak yang mengganggu kepimpinan ulama sebagai “syaitan-syaitan dalam kalangan manusia dan jin”.

Pemilihan PAS akan berlangsung sempena Muktamar ke-71 di Alor Setar, Kedah, dijadualkan pada 11 hingga 16 September nanti

Mengulas mengenai pemilihan PAS, Tuan Ibrahim menyatakan keyakinan parti itu akan sentiasa tenang.

Katanya, soal jawatan dalam parti itu bukan perkara yang menjadi rebut-rebutan.

“Tradisi dalam PAS ini (soal) jawatan bukan benda yang nak direbut-rebut, bahkan benda yang pelik dalam PAS ini tiada budaya kempen.

“Siapa kempen biasanya dia kalah. Kita serah pada ahli dan perwakilan kita. Perwakilan berhak menentukan calon dan kita terbuka semua jawatannya termasuk presiden, timbalan, naib ke bergantung pada pencalonan.

“Insya-Allah kita sentiasa kekal tenang dalam pemilihan, tak ada masalah,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS