29 ditahan, 24 sudah dibebaskan
Beberapa peguam hak asasi manusia percaya sekurang-kurangnya 29 orang ditangkap sewaktu perhimpunan Bersih di ibunegara hari ini dan 24 daripadanya telahpun dibebaskan.
Beberapa peguam hak asasi manusia percaya sekurang-kurangnya 29 orang ditangkap sewaktu perhimpunan Bersih di ibunegara hari ini dan 24 daripadanya telahpun dibebaskan.
Peguam Edmund Bon - salah seorang daripada delegasi Majlis Peguam yang memantau perhimpunan tersebut - berkata sehingga ini, 24 individu telah dibebaskan tanpa syarat.
Tahanan ditempatkan di ibupejabat polis kontingen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah dan dibebaskan secara berperingkat-peringkat antara jam 6.30 petang hingga 8 malam.
Bon berkata para peguam telah menghantar lima individu untuk pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Para peguam mendapat tahu kemudiannya bahawa pihak polis juga telah menghantar seorang lagi tahanan ke HKL untuk pemeriksaan kesihatan.
Ramai lagi mungin ditahan
Bon adalah antara 15 peguam yang berada di ibupejabat polis kontinjen KL di mana tahanan tersebut ditahan. Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada terdapat tahanan yang ditahan di tempat lain.
Sementara itu, peguam Latheefa Koya yang turut berada di ibupejabat polis kontinjen KL itu berkata mereka tidak dibenarkan menemui para tahanan.
Katanya, ia tidak masuk akal memandangkan pindaan kepada Kod Prosedur Jenayah baru-baru ini memestikan polis membenarkan tahanan menemui peguam mereka.
Sementara itu, jurucakap PAS berkata, dua atau tiga petugas unit amal parti itu telah ditahan polis ketika berada ke Dataran Merdeka kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Katanya, petugas terbabit ketika itu sedang mengawal orang ramai yang sedang menuju ke Masjid Negara.
"Mereka dibawa ke Balai Polis Brickfield untuk diambil kenyataan sebelum dibebaskan lewat petang tadi," katanya.
Sementara itu, Bernama memetik Ketua Polis Negeri, Tan Sri Musa Hassan sebagai berkata, polis telah menahan 245 orang kerana menyertai perhimpunan di sekitar pusat ibunegara hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mereka telah dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.
Mengikut anggaran polis, katanya, sekitar 4,000 orang telah berhimpun secara haram di sekitar perkarangan Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek dan pihak polis telah meleraikan mereka dengan menggunakan gas pemedih mata dan penyembur air.
"Polis terpaksa bertindak demikian kerana mereka enggan bersurai selepas diarahkan dan terpaksa menahan 245 orang," katanya kepada Bernama.
Beliau bagaimanapun berkata polis tidak menggunakan kekerasan untuk menyuraikan mereka.
Musa berkata demikian ketika mengulas perhimpunan haram yang dianjurkan 26 badan bukan kerajaan (NGO) dan disertai parti pembangkang untuk menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihanraya di negara ini kepada Istana Negara.
Pihak penganjur mendakwa, seramai 40,000 telah berhimpun di Istana Negara di mana pemimpin pembangkang telah menyerah memorandum kepada Yang di-Pertuan Agung, menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.
Memorandum tersebut diserahkan oleh delegasi yang diketuai oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, Ketua Pembangkang dari DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Memorandum itu diterima oleh wakil Seri Paduka kira-kira jam 4 petang, Selepas itu, semua yang berhimpun di situ telah bersurai secara aman.
Bagaimanapun, sebelum ini, polis telah menembak meriam air serta gas pemedih mata ke atas kira-kira 800 orang yang berhimpun di kawasan Masjid India.

