Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS masih sangat perlukan pimpinan Hadi, kata MB Terengganu
Diterbitkan:  Jun 17, 2025 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsudi Mokhtar, hari ini berkata kepimpinan Abdul Hadi Awang "sangat diperlukan" sekarang, justeru tidak timbul isu Ahli Parlimen Marang itu perlu berundur.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, Ahmad Samsuri berkata perjuangan PAS bukan sekadar tentang kuasa dan politik semata-mata, malah lebih daripada itu.

"Paling penting, kepimpinan dan buah fikiran Tok Guru (Abdul Hadi) itu dapat memberi semangat kepada kami untuk meneruskan gerak kerja," katanya selepas menziarahi keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris di Gerik, Perak.

Kenyataan itu dibuat selepas ada desas-desus mendakwa Abdul Hadi bakal berundur dari jawatan presiden yang disandangnya sejak hampir 22 tahun lalu sehingga menyebabkan sesetengah pihak dalam PAS menunjukkan rasa marah mereka kononnya ada cubaan menaikkan tokoh bukan ulama sebagai pemimpin.

Ia sekali lagi mencetuskan polemik persaingan kumpulan agamawan dan profesional yang pernah melatari pemilihan dalaman PAS sebelum ini.

Bagaimanapun dakwaan Abdul Hadi, 77, akan berundur itu sudah dinafikan beberapa pemimpin kanan PAS termasuk timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Langkah Abdul Hadi juga selalu dibayangi dengan isu kesihatan. Misalnya, semalam anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil, mengajak orang ramai berdoa dan mengadakan solat hajat menjelang pelaksanaan prosedur perubatan yang dijadualkan hari ini.

Wujud pembahagian gerak kerja

Muhammad Khalil kemudian mengumumkan prosedur itu berjaya dilaksanakan ke atas Abdul Hadi. Namun tiada butiran lanjut didedahkan termasuk isu kesihatan yang dialami serta lokasi Abdul Hadi dirawat.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu menegaskan, PAS mencapai prestasi terbaik dalam PRU ketika ia dipimpin Abdul Hadi.

Ditanya sama ada keberadaan Abdul Hadi masih diharapkan oleh PAS, Ahmad Samsuri berkata: “Masih diperlukan, sangat diperlukan.”

Katanya, ketika ini PAS mempunyai hampir 200 wakil rakyat di dewan undangan negeri dan parlimen.

"Kenapa pula semasa kita (PAS) berada dalam keadaan cemerlang itu kita nak fikir bukan-bukan pula?

"Kita harapkan momentum sedia ada yang dibawa Tuan Guru ini di teruskan," katanya.

Dalam sidang media sama Ahmad Samsuri turut menjelaskan alasan dia berundur dari jawatan Yang Dipertua PAS Marang pada hujung minggu lalu.

Kata Ahmad Samsuri, perkara itu sudah dijelaskannya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Marang pada Sabtu lalu - iaitu dia mahu memberi ruang kepada orang lain menjadi pemimpin.

Pada masa sama, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman memberitahu, dia mahu wujud pembahagian gerak kerja di semua peringkat parti.

"Saya (pula) boleh fokus kepada tugas sebagai naib presiden dan melihat strategi keseluruhan (bagi menghadapi) PRU ke-16," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS