Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Mohd Khalid Ismail, dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru bagi menggantikan Razarudin Husain hari ini.
Razarudin akan menamatkan kontraknya sebagai pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad ini.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Mohd Khalid untuk tempoh dua tahun, mulai 23 Jun ini sehingga 22 Jun 2027.
“Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan PDRM.
“Bagi pihak kerajaan Madani, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Razarudin atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023,” kata Saifuddin dalam kenyataan.
Kini berusia 60 tahun, Mohd Khalid memulakan kerjaya dalam PDRM sebagai inspektor percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 5 April 1987.
Dia pernah menjawat pelbagai jawatan sebelum ini termasuk menjadi Ketua Cawangan Khas Pahang dan Atase Polis Kedutaan Malaysia di London.
Majlis serah terima tugas berlangsung di Pulapol petang ini disaksikan Saifuddin.
