GLOBAL | Pusat Kawalan Keselamatan Siber Iran mengumumkan beberapa cubaan Israel untuk mengganggu sistem infrastruktur penting negara - termasuk rangkaian perbankan - berjaya digagalkan sejak tercetusnya konflik antara mereka, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita Mehr semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pusat itu memaklumkan antara kejayaan utama yang dicapai ialah menangkis serangan penafian perkhidmatan teragih (DDoS) berskala besar, dan mengehadkan akses kumpulan penggodam kepada sistem sabotaj dan kecurian data.
Turut dikesan dan dipatahkan ialah kerosakan sebahagian ke atas sistem kawalan dan perintah (C4I) Israel yang berkait dengan operasi ketenteraan.
Menurut kenyataan itu lagi, Iran juga berjaya menyekat usaha mengeksploitasi perisian hasad menerusi telefon mudah alih oleh pihak musuh.
Pusat Kawalan Keselamatan Siber Iran turut memberi amaran bahawa mana-mana individu yang bersekongkol dengan Israel akan dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.
Konflik ketenteraan tercetus pada 13 Jun lalu apabila Tel Aviv melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi termasuk kemudahan tentera dan nuklear di Iran, mendorong Tehran melancarkan serangan balas.
Sementara itu, media Iran melaporkan seramai 639 orang terbunuh dan lebih 1,300 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas negara itu.
- Bernama/Anadolu
