Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perancis tetap bertekad iktiraf negara Palestin
Diterbitkan:  Jun 23, 2025 6:30 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

GLOBAL | Menteri Luar Perancis hari ini menegaskan bahawa negara itu tetap bertekad untuk mengiktiraf negara Palestin “dalam gerakan kolektif”, sambil menegaskan tiada apa yang patut membuat dunia lupa apa yang berlaku di Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap kepada media sebelum Mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Jean-Noel Barrot turut mengulangi gesaan Paris agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk segera ke Gaza serta semua tawanan dibebaskan.

Dia turut memaklumkan, para menteri-menteri luar negara anggota EU akan membincangkan Perjanjian Persatuan (Association Agreement) di antara Tel Aviv dan blok itu.

Pada masa sama Barrot merujuk kepada laporan EU yang menunjukkan bahawa Israel berkemungkinan melanggar komitmen hak asasi manusia di bawah artikel 2 perjanjian berkenaan.

“Kami tetap bertekad untuk mengiktiraf negara Palestin melalui satu gerakan kolektif yang melibatkan semua pihak berkepentingan dan bertujuan membuka jalan ke arah penyelesaian politik bagi konflik Palestin-Israel,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares pula menyeru agar Perjanjian Persatuan EU-Israel digantung.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, itu dijangka turut membincangkan isu perang Rusia-Ukraine, hubungan dengan China, serta perkembangan semasa di Timur Tengah.

- Bernama/Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS