PAS: Kenyataan PM cemar institusi Raja-Raja Melayu
PAS kesal dengan kenyataan Perdana Menteri yang menuduh bahawa penyerahan memorandum Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu lalu sebagai cubaan parti pembangkang untuk mengheret institusi Raja-Raja Melayu, terutama Seri Paduka sendiri, ke dalam kancah politik.
PAS kesal dengan kenyataan Perdana Menteri yang menuduh bahawa penyerahan memorandum Bersih kepada Yang di-Pertuan Agong Sabtu lalu sebagai cubaan parti pembangkang untuk mengheret institusi Raja-Raja Melayu, terutama Seri Paduka sendiri, ke dalam kancah politik.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, PAS merasakan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu tidak tepat, "malah sangat tidak bertanggungjawab".
Malah, katanya, PAS merasakan bahawa kenyataan Perdana Menteri itu telah menghina dan mencemar institusi Raja-Raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong yang merupakan payung negara dan rakyat yang berdaulat dan dihormati.
Kamaruddin berkata, Bersih atau Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil adalah sebuah badan gabungan bukan sahaja parti-parti politik, termasuk PAS, tetapi juga lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) dengan matlamat untuk menuntut reofrmasi dalam proses pilihanraya di Malaysia yang didapati tempang dan tercemar.
Kira-kira 40,000 orang berhimpun secara aman di hadapan Istana Negara Sabtu lalu di mana delegasi Bersih yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin PAS, DAP dan PKR, telah menyerahkan memorandum menuntut satu pilihanraya yang bersih dan adil, kepada wakil Seri Paduka.
"Amalan demokrasi di Malaysia tidak akan bermakna sekiranya proses pilihanraya, yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), berterusan berada dalam keadaan demikian," kata Kamaruddin dalam satu kenyataan hari ini,
"Dan bagi Bersih serta seluruh rakyat Malaysia, institusi Raja-Raja Melayu, termasuk Yang di-Pertuan Agong, bukan sekadar kepala negeri-negeri atau negara tetapi juga berperanan dan memiliki kuasa untuk mempertahankan demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.
Penyerahan memorandum
"Atas kesedaran ini, memandangkan pengerusi dan anggota SPR sendiri dilantik atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka Bersih mengambil keputusan untuk menyerahkan memorandum terus kepada Seri Paduka sendiri," tambahnya.
Kamaruddin berkata, Bersih mengambil keputusan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong "selepas Tuanku sendiri memberikan perkenan Baginda, dan kehadiran Bersih di Istana Negara Sabtu lalu adalah bagi menjunjung perkenan Tuanku untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Baginda".
"Isu Bersih kononnya mahu memerangkap Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang dituduh oleh Perdana Menteri itu, dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar aliran perdana, tidak tepat, malah berunsur jahat kerana Baginda telahpun dimaklumkan akan tindakan Bersih itu dan memberikan perkenannya," katanya.
Menurut Kamaruddin lagi, sebagai ketua negara yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan dan dihormati serta ditaati oleh rakyat, PAS merasakan Seri Paduka berhak untuk mendengar dan menimbangkan rayuan serta keluhan rakyat melalui memorandum Bersih itu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
"Apa yang penting bagi Bersih adalah pemulihan sistem pilihanraya bagi menjamin kelangsungan amalan demokrasi dalam negara.
"Sistem pilihanraya yang bersih dan adil sepatutnya sama-sama dituntut oleh semua pihak, termasuk Perdana Menteri dan kerajaan sendiri," tambahnya.

