Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM umum epal, oren dikecuali SST lepas dikritik kerana avokado
Diterbitkan:  Jun 26, 2025 11:09 AM
Dikemaskini: 4:50 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa buah epal dan oren akan dikecualikan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Perkembangan ini hadir selepas kritikan terhadap perdana menteri apabila dia mendakwa bahawa peluasan cukai jualan ke atas buah-buahan import hanya akan memberi kesan kepada orang kaya yang memakan avokado.

"Saya tengok ada banyak keresahan, kata ada orang miskin B40 masih makan epal dan oren import kerana murah.

"Biasanya Menteri Kewangan kalau dah buat keputusan kena tekad, tak boleh ubah-ubah.

"Ada munasabah juga. Pada mulanya, saya fikir, saya tak makan epal oren tak apalah, makan betik, buah jambu, langsat, ikut musim, dukun, durian.

"Tapi tak apa kerana kita beri kelonggaran. Import buah-buahan memang ada sedikit cukai, tapi epal dan oren dikecualikan," katanya dalam ucapan di Putrajaya hari ini.

Anwar bagaimanapun berkata, pengambilan epal dipengaruhi oleh tanggapan lama bahawa makan sebiji epal sehari adalah sihat. Namun, katanya, sebiji pisang sehari lebih baik kerana kandungan kalium yang tinggi.

Peluasan SST, yang termasuk cukai 5 peratus ke atas buah-buahan import, akan berkuat kuasa pada 1 Julai - iaitu Selasa depan.

Semua buah-buahan tempatan dikecualikan kerana ia tidak memenuhi kriteria barangan yang dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Jualan.

Anwar menyatakan dalam ucapannya bahawa terdapat avokado yang ditanam di Sabah.

Bagaimanapun, seperti kebanyakan hasil tanaman tempatan, terdapat kebimbangan bahawa pengeluaran tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan, yang menyebabkan banyak buah-buahan seperti mangga masih diimport.

Anwar sebelum ini mempertahankan peluasan skop cukai SST, khususnya terhadap buah-buahan import, dengan menyatakan langkah itu bertujuan mengenakan cukai kepada golongan kaya.

Mengulas mengenai cukai 5 peratus terhadap buah-buahan import, Anwar memberi gambaran keputusan itu hanya akan memberi kesan kepada mereka yang memakan buah-buahan mahal seperti avokado.

Susulan itu, beberapa pihak tampil mengkritik Anwar, termasuk pemangku presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz.

Amira berkata kerajaan cuba mengalihkan fokus rakyat dengan naratif yang mengelirukan berhubung pelaksanaan cukai SST ke atas barangan makanan asas import.

Adun Puteri Wangsa itu menuduh kerajaan menggunakan “penipuan bersadur fakta” bagi mempertahankan dasar yang menurutnya membebankan rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS