Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian digesa jamin kemasukan automatik pelajar cemerlang STPM ke universiti
Diterbitkan:  Jun 27, 2025 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Pemuda DAP menggesa Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjamin kemasukan automatik pelajar cemerlang STPM ke universiti dan kursus pilihan pertama mereka.

Dalam menggesa pembaharuan segera, ketuanya, Woo Kah Leong menegaskan bahawa semua pelajar STPM yang mencapai purata mata gred kumulatif (PNGK) 4.0 harus diberi ganjaran sewajarnya untuk mengiktiraf merit dan usaha mereka.

"Langkah tersebut adalah bentuk pengiktirafan terhadap usaha gigih para pelajar STPM, dan mencerminkan prinsip keadilan serta meritokrasi yang harus menjadi tunjang kepada sistem pendidikan tinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia menekankan bahawa di bawah sistem prauniversiti semasa, pelajar matrikulasi menikmati "kelebihan yang jauh lebih besar" yang menyebabkan ramai pelajar STPM berpencapaian tinggi terlepas peluang ke universiti awam pilihan mereka dan kursus terbaik.

"Ketidakseimbangan sistem pra-universiti yang menjejaskan semangat, motivasi dan masa depan pelajar STPM tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada pelajar cemerlang STPM untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan terkemuka seperti Universiti Malaya dan sebagainya.

"Selama ini, Pemuda DAP menegaskan bahawa reformasi pendidikan bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti dan daya saing, tetapi juga membantu pelajar untuk mengubah kehidupan keluarga masing-masing,” tambah Adun Pasir Bedamar itu.

Merujuk bagaimana kerajaan sebelum ini memberi jaminan kemasukan automatik ke matrikulasi bagi pelajar SPM yang mencapai 10A, Wong menyarankan pendekatan serupa diperluaskan kepada pelajar STPM.

"Malaysia tidak boleh lagi membiarkan pelajar cemerlang STPM diabaikan, semua pihak berkepentingan sewajarnya meningkatkan usaha reformasi dalam pelbagai bentuk demi kemaslahatan dan kelestarian sistem pendidikan negara kita," tegasnya.

Awal minggu ini, kabinet mengumumkan semua pelajar yang mendapat 10A dan ke atas termasuk A- dalam peperiksaan SPM 2024 akan menerima tempat dalam program matrikulasi tanpa mengira latar belakang kaum.

Majlis Peperiksaan Malaysia sebelum ini berkata PNGK yang dicatatkan bagi kumpulan STPM 2024 adalah PNGK kebangsaan tertinggi sejak peperiksaan itu diperkenalkan.

Sejumlah 1,266 (3.06 peratus) calon memperoleh PNGK 4.00.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS