Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malnutrisi ragut nyawa 66 kanak-kanak di Gaza sejak sekatan Israel Okt 2023

Sekurang-kurangnya 66 kanak-kanak Palestin maut akibat malnutrisi akut di Semenanjung Gaza sejak Israel mengenakan sekatan pada Oktober 2023, ketika wilayah itu terus berdepan kekurangan makanan, bekalan perubatan dan susu formula bayi, menurut pihak berkuasa tempatan pada Sabtu.

Menurut Anadolu Ajansi, angka kematian bayi ini mencerminkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza susulan sekatan yang dikenakan Israel sejak 7 Okt 2023, dengan sekatan bantuan dan bahan api terus diperketatkan.

Kematian terbaru termasuk tiga bayi yang meninggal dunia akibat malnutrisi dan kekurangan ubat-ubatan minggu ini.

Jouri al-Masri, bayi berusia tiga bulan, meninggal dunia pada Khamis di Deir al-Balah selepas keluarganya gagal mendapatkan susu terapeutik khas yang diperlukan, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Pada hari sama, Nidal Sharab, lima bulan, dan Kinda al-Hams, 10 hari, meninggal dunia di Hospital Nasser di Khan Younis, dengan keluarga mereka menyalahkan kekurangan zat makanan yang teruk dan kekurangan bekalan perubatan kritikal.

“Kematian ini mencerminkan jenayah perang berterusan yang menafikan akses kepada keperluan menyelamatkan nyawa,” kata pejabat media itu, sambil menyifatkan sekatan dan penutupan sempadan sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan dan pelanggaran nyata undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Konvensyen Geneva.”

Pejabat itu turut mengecam apa yang disifatkan sebagai “sikap membisu yang memalukan” masyarakat antarabangsa dalam menghadapi kebuluran sistematik di Gaza.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata dianggarkan 112 kanak-kanak dimasukkan ke hospital di Gaza setiap hari untuk rawatan malnutrisi.

Israel mengekalkan penutupan sebahagian besar lintasan utama Gaza sejak 2 Mac lalu, menyekat ratusan trak bantuan dan bekalan. Agensi PBB menyatakan Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 500 trak setiap hari untuk memenuhi keperluan asas, tetapi sering kali kurang daripada 50 trak dibenarkan masuk.

Menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, tentera Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza sejak Oktober lalu, menyebabkan lebih 56,400 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut pegawai kesihatan Gaza.

- Bernama - Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS