Gesaan agar kerajaan melanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua hakim negara terus disuarakan, kali ini oleh bekas timbalan menteri undang-undang Ramkarpal Singh.

Dalam kenyataan hari ini, Ramkarpal turut menggesa agar tempoh perkhidmatan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, juga dilanjutkan.

“Kerajaan telah beberapa kali menyatakan bahawa reformasi institusi merupakan perkara yang paling diutamakan dan sukar untuk difahami mengapa soal lanjutan tempoh perkhidmatan para hakim ini tidak selari dengan agenda itu, khususnya ketika ramai hakim Mahkamah Persekutuan telah bersara atau bakal bersara.

“Dalam keadaan ini, amat penting untuk mengekalkan status quo dalam pentadbiran kehakiman bagi memastikan peralihan yang lancar apabila barisan baru hakim Mahkamah Persekutuan mengambil alih,” kata ahli Parlimen DAP itu.

Tengku Maimun Tuan Mat

Tengku Maimun dijangka mencapai umur persaraan wajib hakim, iaitu 66 tahun, pada Selasa ini, manakala Abang Iskandar akan mencapai umur tersebut sehari kemudian.

Nalini pula akan mencapai usia 66 tahun pada 22 Ogos ini.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, hakim yang telah bersara boleh terus berkhidmat selama enam bulan lagi, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ramkarpal berkata lagi, kerajaan perlu memberi penjelasan jika ia memutuskan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka.