Bintang Liverpool, Diogo Jota dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan pada tengah malam tadi.
Penyerang asal Portugal berusia 28 tahun itu maut dalam satu kemalangan di Zamora dekat Zamora di barat laut Sepanyol, menurut Reuters yang memetik stesen televisyen negara itu.
Dia dalam perjalanan bersama-sama adiknya, Andre, 26, yang turut dilaporkan meninggal dunia, apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas dari jalan dan kemudiannya terbakar.
Menurut Reuters lagi, Jabatan Bomba wilayah Castille-Leon — tempat terletaknya Zamora — mengesahkan kejadian itu yang berlaku sebaik selepas tengah malam tadi, dengan dua lelaki berusia 28 dan 26 tahun ditemui maut di tempat kejadian.
Insiden tragik itu berlaku hanya dua minggu selepas Jota mengahwini teman wanitanya, Rute Cardoso. Pasangan itu memiliki tiga cahaya mata.

Menurut the Daily Mail, berita itu turut disahkan Persekutuan Bola Sepak Portugal.
“Persekutuan Bola Sepak Portugal dan seluruh komuniti bola sepak Portugal amat terkesan dan berduka cita atas pemergian Diogo Jota dan André Silva, pagi ini di Sepanyol.
“Lebih daripada sekadar seorang pemain bola sepak yang hebat, dengan hampir 50 penampilan bersama pasukan kebangsaan, Diogo Jota merupakan seorang insan luar biasa yang dihormati oleh rakan sepasukan dan juga pihak lawan — seorang yang sentiasa ceria dan menjadi teladan dalam komuniti beliau sendiri,” kata presidennya, Pedro Proenca seperti dipetik.
Jota menyertai Liverpool pada 2020 dengan menjaringkan 65 gol sepanjang 182 penampilannya.
Dengan skuad Portugal pula, mendiang membuat 49 penampilan dengan menjaringkan 14 gol.
Mendiang menamatkan musim lalu dengan penuh cemerlang, apabila menang Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool dan juga Liga Negara-Negara Uefa bersama Portugal.
