Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS S'gor gesa MB terima usul bahas kebakaran Putra Heights

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari digesa supaya tidak lari daripada tanggungjawab dalam insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, April lalu.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berkata Amirudin juga perlu membenarkan usul tergempar yang dibawa oleh Ketua Pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri berhubung insiden terbabit.

“Saya nak menteri besar jangan bacul, terima usul tergempar yang dibawa oleh Pengerusi PN Selangor Azmin Ali.

“Jangan buat Adun-Adun ini serupa budak-budak nak buat taklimat. Ingat Adun-Adun yang dipilih rakyat ini budak-budak sekolah ke nak buat taklimat,” katanya dalam sidang media selepas Himpunan Turun Anwar di Shah Alam, hari ini.

Amirudin pada 4 Julai memaklumkan dia akan mengadakan sesi taklimat khas dengan semua Adun pada Isnin ini bagi menjelaskan laporan akhir insiden kebakaran di Putra Heights.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari

Ia susulan kritikan daripada pelbagai pihak yang mendakwa laporan mengenai kejadian berkenaan tidak lengkap dan kurang maklumat penting.

Amirudin berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat pramajlis bersama para Adun.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata Amirudin perlu memberi laluan kepada perbahasan terbuka dan telus di Dewan Negeri Selangor berhubung insiden terbabit.

Mohamed Sukri turut menekankan bahawa wakil rakyat perlu diberi ruang untuk membahaskan isu ini secara terbuka, demi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri terhadap keselamatan awam.

“Bawa dan bahas secara telus serta bebas di dewan. Beri ruang kepada wakil rakyat kerana mereka membawa suara rakyat,” tegasnya lagi.

Mohamed Sukri menyifatkan insiden di Putra Heights itu sebagai satu lagi contoh kegagalan kerajaan perpaduan dalam mentadbir secara berkesan dan telus.

“Saya lihat semua realiti pemerintah hari ini rosak apabila kerajaan perpaduan yang memimpin. Ia mesti diperbetulkan segera,” katanya.

Dia turut menyeru PN untuk memimpin kebangkitan rakyat bersama NGO dan parti-parti politik lain bagi menuntut pentadbiran yang lebih bertanggungjawab.

Pada Isnin lalu, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Husdin Che Amat memaklumkan hasil siasatan mendapati paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan, namun bahagian bawah paip didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah yang dikenal pasti lembut dan lembap.

Dalam sidang media sama, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan juga mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian dikesan dan kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut.

Namun, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap laporan tersebut yang disifatkannya tidak menyeluruh dan terlalu bergantung kepada jawatankuasa siasatan dalaman, yang menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS