Wakil rakyat DAP, Teng Chang Kim akan kembali menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 19 November depan selepas digantung selama 30 bulan.

Persidangan itu akan berlangsung dari 19 hingga 22 November depan. Teng merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pinang dan Ketua Pembangkang di DUN Selangor.

Dalam lamanwebnya, Teng berkata, tempoh penggantungannya itu merupakan 'satu rekod dunia' termasuk 18 bulan daripadanya tanpa dibayar sebarang elaun.

Teng dikenakan hukuman penggantungan tersebut selepas beliau bertindak membaling salinan Perintah Tetap Dewan ke dalam bakul sampah, dan enggan meminta maaf terhadap tindakannya itu pada tahun 2005.

Beliau bertindak demikian kerana tidak puashati dengan tindakan Speaker Dewan Negeri, Tan Sri Onn Ismail menolak usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berhubung isu Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam.

Isytihar harta

"Menteri Besar dan Barisan Nasional boleh menghalang saya daripada menghadiri sidang (DUN) tetapi mereka tidak dapat menghalang saya daripada membangkitkan isu-isu di Selangor sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Sebagai mengingati kembalinya beliau menghadiri sidang DUN kali ini, Teng telah menghantar notis untuk mengemukakan satu rang undang-undang persendirian yang dinamakan "Rang Undang-undang Pengisytiharan Harta dan Pendapat Keluarga 2007'.

Rang undang-undang tersebut, katanya, bertujuan untuk mewajibkan semua senator, ahli Parlimen, ahli Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli majlis tempatan di Selangor, mengisytiharkan aset dan pendapatan tahunan mereka.

Semua pengisytiharan tersebut, tegas Teng, akan disiarkan dalam Gazet bagi memastikan ketelusan dan rakyat tahu kaya atau miskinnya pemimpin mereka.

Katanya, mereka yang gagal mematui enakmen tersebut boleh didenda dan dihukum penjara.

Menurut Teng, rang undang-undang tersebut adalah yang pertama seumpamanya dibentang di mana-mana sidang Dewan Undangan Negerai atau Dewan Rakyat di negara ini.