Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Sabah: Strategi gabungan PH-BN mampu menang besar, kata Asyraf

Strategi gabungan antara PH dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dijangka mampu menghasilkan kemenangan besar berdasarkan dapatan daripada pilihan raya terdahulu.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata asas kerjasama yang dilaksanakan BN dan PH menjadi penanda aras kerana elemen itu merupakan penentu kemenangan besar di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, Perak; DUN Mahkota, Johor dan DUN Nenggiri, Kelantan.

"Kita boleh lihat pusat daerah mengundi (PDM) yang dulunya kita tidak pernah menang kerana kawasan majoriti bukan Melayu, tetapi di atas asas kerjasama kita telah menang.

"Jadi kenapa kita perlu bongkak dan tidak mahu kerjasama dengan sesiapa. Umno ialah parti yang bersifat terbuka dan dinamik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tanjong Karang semalam.

Dia berkata rundingan kerjasama antara kedua-dua gabungan parti politik itu bagi menghadapi PRN Sabah kini telah mencapai 98 peratus.  

Sementara itu, Asyraf berkata Umno optimis untuk merampas semula kerusi Parlimen Tanjong Karang dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Menurutnya, kerusi itu dianggap penting untuk dimenangi selepas mencatatkan kekalahan dalam PRU15 yang lepas.

"Untuk menang formulanya sudah jelas bahawa kita kena kembali kepada asas Umno iaitu bersatu, bersetia dan beriman. Bersatu bermakna di dalam parti jangan ada kelompok dan kabilah-kabilah.

"Kerusi Tanjong Karang kita tidak pernah kalah sehingga pilihan raya lepas. Jadi, fokus kita mahu menjadikan ia antara kerusi utama kembali dirampas kelak," katanya.

Pada PRU15, Parlimen Tanjong Karang dimenangi Zulkafperi Hanapi daripada PN dengan 18,054 undi, iaitu majoriti 2,180 undi.

Dia yang kini wakil rakyat bebas menewaskan calon BN Habibah Mohd Yusof yang memperoleh 15,874 undi dan Siti Rahayu (PH) dengan 12,314 undi.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS