Dalam sejarah PAS, kata Takiyuddin Hassan, biasanya jawatan-jawatan utama dalam parti itu akan disandang oleh individu berkenaan sehingga mereka meninggal dunia.
Justeru, kata Setiausaha Agung PAS itu, tidak timbul isu sama ada Presiden PAS Abdul Hadi Awang mahu berundur atau kekal menerajui parti.
“Daripada pemerhatian kita secara dekat, sepatutnya tak timbul isu Tok Guru (Abdul Hadi) tak nak bertanding.
“Tak pernah ada (isu berundur dari jawatan presiden), cuma andaian-andaian pihak tertentu yang mungkin mereka nampak Tok Guru tak sihat dan sebagainya,” katanya kepada Malaysiakini di Putrajaya, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas spekulasi mengenai masa depan Abdul Hadi sebagai pemimpin PAS ketika dia dilihat agak uzur.
Khabar angin itu semakin kuat apabila beberapa pemimpin kanan PAS membuat kenyataan keras – termasuk melalui pertubuhan Geng Ustaz – yang mengecam pihak tertentu kerana dianggap mahu “melanggar presiden”.
Presiden Geng Ustaz yang juga bekas calon PAS dalam PRU 2018, Ahmad Dusuki Abd Rani, menggelar pihak yang mengganggu “kepimpinan ulama” dalam PAS sebagai “syaitan-syaitan dalam kalangan manusia dan jin”.
Untuk rekod desas-desus itu muncul ketika PAS mengadakan pemilihan parti dan menuju kepada muktamar di Kedah pada Sept nanti.
Mahathir sertai Turun Anwar
Bagaimanapun kemungkinan itu kini dimatikan selepas Abdul Hadi sendiri memberi gambaran untuk terus kekal sebagai presiden parti yang disandangnya sejak 22 tahun lalu.
Takiyuddin berkata, dalam sejarah PAS selama ini menyaksikan Allahyarham Fadzil Noor memegang jawatan presiden sehinggalah dia meninggal dunia pada 23 Jun 2002, manakala Allahyarham Nik Abdul Aziz menjadi mursyidul am sehingga ke akhir hayatnya pada 2015.
“Dalam Islam ini, selagi kita mampu, kita terus berjuang untuk Islam,” katanya sambil memberikan contoh amalan sembahyang.

Kata Takiyuddin, seseorang Muslim yang mendirikan sembahyang boleh melaksanakannya mengikut keadaan semasa termasuk jika mengalami keuzuran.
“Kalau kita tak boleh berdiri, boleh duduk; tak boleh duduk, kita tidur (berbaring). Jadi itu konsep diambil Tok Guru (Abdul Hadi).
“Jadi kita rasa telah menyelesaikan desas-desus mengatakan apa-apa perubahan kepimpinan PAS. Saya yakin tidak ada, terutamanya dua jawatan teratas iaitu presiden dan timbalan,” katanya lagi.
Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, bagi jawatan presiden hingga ke ahli Jawatankuasa PAS Pusat, seseorang yang ingin bertanding memerlukan sekurang-kurangnya 20 pencalonan untuk layak.
Sementara itu mengulas mengenai penganjuran himpunan Turun Anwar pada 26 Julai nanti, acara itu turut akan dihadiri oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
“Kami sudah mendapat pengesahan bahawa Tun Mahathir juga akan turut serta,” katanya.
