Umno pinda peraturan mesyuarat dan etika calon
Umno akan meminda peraturan mesyuarat dan kod etika calon berkuatkuasa mulai tahun depan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Umno akan meminda peraturan mesyuarat dan kod etika calon berkuatkuasa mulai tahun depan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
Pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun ini telah ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum akan datang.
Menurut perlembagaan Umno, pemilihan pucuk pimpinan parti itu boleh ditangguhkan selama 18 bulan.
Piliharaya umum dijangka diadakan awal tahun depan, dan pemilihan Umno pula dijangka hujung tahun.
Menurut laporan Bernama, Radzi berkata, kod etika calon sedang dipinda bagi memastikan sistem pemilihan parti bertambah baik.
Draf pindaan yang membabitkan kesemua peringkat itu akan dikemukakan kepada mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti itu akhir bulan ini sebelum dikemukakan kepada Majlis Tertinggi Umno, katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya semua cadangan itu dikumpul daripada ahli-ahli semasa kursus untuk setiausaha Umno di semua peringkat diadakan tidak lama dahulu.
Antara perkara yang akan dipinda ialah peraturan mengenai kuorum, kata Radzi, yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Mengenai pindaan kod etika calon, beliau berkata, setiap ahli Umno yang berhasrat bertanding hendaklah menjelaskan yuran parti sebelum 31 Disember tahun ini.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka tidak layak bertanding, katanya.
"Mereka bukan sahaja tidak boleh bertanding tetapi jika hadir persidangan, mereka juga tidak boleh mengambil bahagian dalam ucapan kerana hanya layak sebagai pemerhati," kata Radzi.
Pada 2004 beberapa calon yang menawarkan diri untuk bertanding telah diketepikan kerana mereka tidak membayar yuran.
"Kalau boleh bayar sendiri yuran, jangan harap orang lain. Hanya RM1 sahaja," katanya.

