Batu Buruk: Saksi digesa tampil beri maklumat
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian rusuhan Batu Buruk supaya tampil membantu siasatan awam yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian rusuhan Batu Buruk supaya tampil membantu siasatan awam yang akan dijalankan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
"Mereka yang mempunyai maklumat/bukti/dokumentasi, diminta menghubungi Suhakam atau Suaram secepat mungkin," kata Suaram dalam satu kenyataan.
Gesaan yang sama juga dibuat oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang merupakan penganjur ceramah menuntut pilihanraya bersih dan adil di Batu Buruk pada 8 September lalu.
Dalam satu kenyataannya, Bersih menyeru semua saksi tampil beri kerjasama kepada Suhakam dalam siasatan awam itu nanti.
Bersih dan Suaram mengalu-alukan keputusan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk menjalankan siasatan awam terhadap kejadian rusuhan di Batu Buruk, khususnya insiden penggunaan peluru hidup ke atas orang awam yang mengadakan protes.
"Biar lambat asalkan jadi," kata Bersih .
Sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan aman di Kuala Lumpur Sabtu lalu, Bersih telah menghantar satu delegasi untuk menyerahkan nota bantahan kedua kepada Suhakam mengenai kejadian tersebut.
"Bersih juga berasa lega apabila mengetahui Suhakam melalui Pesuruhjaya Muhammad Shafee Abdullah, menyatakan bahawa kenyataan Datuk Siva Subramaniam berkaitan dengan perhimpunan aman 10 November baru-baru ini merupakan kenyataan peribadi beliau dan bukannya kenyataan rasmi Suhakam," tambahnya.
Siva dalam kenyataannya mengenai perhimpunan tersebut dilaporkan berkata pihak polis tidak menggunakan keganasan dalam mengawal orang ramai dan telah bertindak professional dalam hal tersebut.
"Malaysiakini meyiarkan laporan berkaitan dengan seorang mangsa yang mengalami kecederaan teruk semasa berada di tepi Jalan Tun Perak. Tempurung lutunya dipecahkan oleh anggota polis sungguhpun dia sudah pun ditiarapkan di atas tanah.
"Laporan tersebut sudah cukup kuat menjadi alasan yang bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Siva bahawa pihak polis sebenarnya telah bertindak ganas, melakukan provokasi dan tidak berpatutan," tambah kenyataan itu lagi.
Bidangkuasa panel
Bagaimanapun, Shafee tidak pula menyatakan pendirian rasmi Suhakam berhubung perhimpunan pada 10 November lalu.
Sehubungan itu, Bersih mendesak supaya Suhakam tetap dengan pendiriannya sebagai pelindung kepada hak asasi manusia di Malaysia sepertimana yang pernah dinyatakannya sebelum ini, iaitu:
"Hak asasi yang asas untuk kebebasan berhimpun perlulah dihormati dan berdasarkan kepada undang-undang bagi memastikan keselamatan terkawal atau orde orang awam" dan "perhimpunan-perhimpunan awam adalah jalan yang sihat untuk pertubuhan yang ditubuhkan oleh orang awam bagi menyatakan ketidakpuasan terhadap perkara-perkara yang menjejaskan kehidupan mereka" (Freedom Of Assembly: A Report by Suhakam, 2001).
Bersih, dalam kenyataan tersebu, turut melahirkan kerisauannya terhadap had yang diberikan terhadap terma bidangkuasa panel Suhakam yang akan mengendalikan siasatan awam mengenai kejadian Batu Buruk itu.
"Suhakam seharusnya tidak meminggirkan persoalan berkenaan dengan kebebasan berhimpun dalam siasatan awamnya itu," tambahnya.
Sebelum ini, Shafee dilaporkan berkata menyiasat insiden tembakan peluru hidup itu, bidang kuasa panel siasatan tersebut ialah:
- Menentukan sama ada berlaku pelanggaran hak asasi manusia dan menentukan orang atau orang-orang atau agensi yang bertanggungjawab melakukan pelanggaran tersebut.
Tembak peluru hidup
- Menyiasat bagaimana pelanggaran tersebut berlaku dan bentuk pelanggaran, prosedur yang boleh menyumbang kepada pelanggaran tersebut dan langkah-langkah untuk mencegah pelanggaran tersebut daripada berulang.
"Bersih berhadap Suhakam akan mengadakan siasatan yang sedalam mungkin mengenai kejadian Batu Buruk," tambah kenyataan tersebut.
Sementara itu, Suaram turut mengalu-alukan keputusan Suhakam untuk menjalankan siasatan awam terhadap kejadian Batu Buruk
Dalam kejadian pada 8 September lalu, dua ahli PAS - Suwandi Abdul Ghani, 37, dan Muhamad Azman Aziz, 21, terkena cedera tembakan peluru hidup yang dilepaskan oleh seorang anggota polis.
"Walaupun keputusan ini agak lewat dan hanya dibuat selepas protes dan tekanan oleh badan-badan sivil, namun ianya penting kerana suruhanjaya tersebut telah membuat keputusan untuk mengadakan siasatan terhadap pelanggaran hak asasi manusia, serta untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab terhadap insiden tersebut," kata Suaram dalam satu kenyataan.
Sehubungan iu, Suaram juga menggesa orang ramai yang menyaksikan tersebut supaya tampil memberi maklumat.
"Mereka yang mempunyai maklumat/bukti/dokumentasi, diminta menghubungi Suhakam atau Suaram secepat mungkin," katanya.

