Para hakim tidak boleh merubah sendiri badan kehakiman dan tanggungjawab itu terletak di tangan kerajaan, kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas malam tadi.

Bercakap untuk pertama kalinya mengenai skandal klip video Datuk VK Lingam, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk campurtangan semula dalam badan kehakiman.

"Jika kerajaan boleh campurtangan dalam krisis kehakiman pada tahun 1998 yang menjadi punca kepada keadaan sekarang, (maka) kerajaan bertanggungjawab untuk campurtangan semula bagi membetulkan kerosakan tersebut," katanya disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Salleh yang terbabit secara langsung dalam krisis 1988, berucap kepada 1,000 hadirin yang memenuhi dewan forum bertajuk "Krisis Kehakiman - Bagaimana Hendak Membetulkannya?" anjuran badan pemikir, Institut Kajian Dasar (IKD).

Pada 1988, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan tribunal khas untuk mendengar tuduhan salahlaku terhadap Salleh, kerana mempersoalkan pindaan perlembagaan yang mengakibatkan terhakisnya kuasa badan kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung -- Tan Sri George Seah dan Allahyarham Tan Sri Wan Sulaiman Pawanteh - yang memutuskan tribunal itu tidak sah di segi perlembagaan turut dipecat bersama Salleh, selepas didapati bersalah atas tuduhan salahlaku oleh tribunal enam hakim itu, termasuk masing-masing seorang dari Singapura dan Sri Lanka.

Sesetengah pihak menganggap pemecatan hakim-hakim Mahkamah Agung itu - mahkamah tertinggi di negara ini ketika itu - yang kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan - sebagai saat paling hitam dalam sejarah kehakiman.

Masalah kesihatan

Salleh yang kelihatan sihat sejak mengadakan sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur tahun lalu, bagaimanapun berkata kesihatan Seah semakin buruk.

Menurutnya, Seah (kanan) menghadapi masalah kesihatan dan tidak boleh bergerak "dan ini adalah sesuatu yang begitu sedih untuk dikatakan...dia menangis...saya turut menangis..."

"Sekiranya menurut definasi, kehakiman bermakna bebas, tidak korup dan berkecuali - maka saya boleh katakan ia tidak wujud (di negara ini)...," katanya.

Salleh kemudiannya menyebut beberapa langkah yang perlu diambil untuk memulihkan badan kehakiman kembali ke era kegemilangannya.

Langkah-langkah tersebut termasuk:

- Menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman untuk melantik dan menentukan kenaikan pangkat para hakim.

- Memasukkan semula klausa kuasa kehakiman ke dalam perlembagaan untuk memberi kuasa semula kepada mahkamah.

- Tempoh perkhidmatan hakim mesti ditetapkan supaya mereka tidak bimbang untuk membuat keputusan, contohnya, perkhidmatan pesuruhjaya kehakiman secara kontrak dua tahun, tidak memboleh mereka melakukan tugas dengan bebas kerana mereka tertakluk kepada kenaikan pangkat atau ditamatkan perkhidmatan selepas tamat kontrak.

- Semak semula kaedah untuk menghentikan perkhidmatan para hakim yang tidak dapat menjalankan tugas atau atas alasan kesihatan.

- Protokol hakim mesti diberi perhatian. Memberi anugerah kepada para hakim mestilah secara automatik apabila mereka memegang jawatan tertentu.

Menteri banyak cakap

Seorang lagi penceramah, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Ismail meminta rakyat bertindak untuk menangani krisis kehakiman.

Beliau juga turut membidas pentadbiran sekarang dan sebelumnya selepas mencerita pengalamannya.

"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri (ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk berbincang mengenai keadaan mahkamah yang semakin teruk. Kita berbincang selama sejam, tetapi tiada apa yang dilakukan selepas itu.

"Kita ada menteri undang-undang (Datuk Seri Nazri Aziz) yang berkata kerajaan tidak boleh campurtangan dalam badan kehakiman dengan menubuhkan sebuah suruhanjaya kehakiman. Menteri ini banyak cakap tetapi tak buat apa-apa," katanya.

Mereka yang turut bercakap termasuklah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden Majlis Peguam, K Ragunath. Berita asal