Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Malaysia belum terima maklumat Jho Low berada di Shanghai - Anwar

Malaysia belum menerima sebarang maklumat berhubung laporan yang mendakwa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, kini menetap di Shanghai, China.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menyemak keberadaan dalang utama skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu, yang dikatakan menggunakan pasport Australia palsu dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya tidak dapat maklumat, kita belum dapat apa-apa maklumat. Let me check. Saya dah baca (laporan media). Saya kena semak dengan Menteri KDN,” katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar, dekat Bayan Lepas hari ini.

Anwar mengulas mengenai beberapa laporan media yang mengatakan Jho Low, yang diburu oleh pihak berkuasa antarabangsa, dipercayai kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai dengan menggunakan pasport Australia palsu.

Pendedahan tersebut dibuat dua wartawan penyiasatan yang terkenal, yang sebelum ini membongkar skandal kewangan terbesar dunia 1MDB, iaitu Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright, pada Jumaat.

Skandal kewangan 1MDB yang merupakan antara terbesar dalam sejarah menyaksikan Jho Low sebagai dalang utama berikutan didakwa menyeleweng USD7.65 bilion (RM35 bilion).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS