Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat lelaki menyamar doktor, tipu pelajar hantar gambar bogel
Diterbitkan:  Jul 20, 2025 9:25 AM
Dikemaskini: 1:25 AM

Polis Perak telah membuka siasatan terhadap satu kes melibatkan dua pelajar perempuan berusia 15 tahun yang diperdaya untuk menghantar gambar bogel kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor.

Menurut pihak polis, kedua-dua remaja itu dihubungi melalui aplikasi pesanan Telegram oleh individu yang mendakwa dirinya seorang guru, sebelum memperkenalkan mereka kepada seorang lelaki lain yang kononnya merupakan seorang profesional perubatan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata mangsa telah dimanipulasi untuk memberikan maklumat peribadi dan keluarga.

"Mangsa diminta untuk memberikan maklumat diri dan keluarga serta diminta untuk menghantar beberapa keping gambar tidak berpakaian lengkap kepada individu tersebut bagi tujuan pemeriksaan kanser serviks dan payudara hanya menggunakan gambar mangsa sahaja.

"Mangsa menyedari telah ditipu terus membuat laporan polis kerana bimbang gambar-gambar mangsa tersebar,” kata Hasbullah pada satu kenyataan di media sosial.

Hasbullah turut mengingatkan ibu bapa dan pendidik agar sentiasa berwaspada dan proaktif dalam melindungi anak-anak daripada pemangsa dalam talian.

Katanya, kanak-kanak dan pelajar sekolah harus sentiasa diingatkan agar tidak mudah berkongsi maklumat peribadi dengan individu yang tidak dikenali.

Dia juga menggesa orang ramai supaya mengaktifkan ciri pengesahan dua langkah pada aplikasi pesanan bagi melindungi akaun mereka.

Perkara ini dilaporkan media terbongkar selepas kedua-dua pelajar itu menceritakan kejadian kepada guru sebenar mereka.

“Gadis-gadis tersebut sedar mereka telah diperdaya selepas memaklumkan kepada guru sebenar, dan kemudian membuat laporan polis kerana bimbang gambar mereka disebarkan,” jelas Hasbullah seperti dipetik The Star.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan kesalahan menggunakan kanak-kanak untuk penghasilan kandungan seksual.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Munawarah Ahmad di talian 011-1624 0391, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di 05-688 6222, atau talian WhatsApp Hotline 017-682 8005.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS