Kerajaan Pahang bersedia menutup sesi persekolahan sekiranya bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di negeri itu melepasi paras sangat tidak sihat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata langkah itu susulan kawasan di Temerloh dan Balok Baru, Kuantan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat semalam.
Dia turut menggesa orang ramai agar menghentikan semua aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan jerebu bertambah buruk.
Mohammad Fakhruddin berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pemimpin Pusat Daerah Mengundi Seri Mahkota serta penyampaian sumbangan di Kampung Padang Geroda di Pekan semalam.
Dia turut mengingatkan orang awam bahawa individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Berdasarkan maklumat di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), dua stesen pemantauan di Temerloh dan Balok Baru masing-masing merekodkan bacaan IPU 152 setakat jam 6 petang semalam, sekali gus berada pada tahap tidak sihat.
– Bernama
