Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM laksanakan PdPR jika IPU lebih 200
Diterbitkan:  Jul 22, 2025 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sekiranya bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 200, kata menteri berkenaan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan KPM yang diselaraskan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Berdasarkan garis panduan, kalau IPU lebih 100 tidak boleh (lakukan) aktiviti luar. Lebih daripada 200, PdPR, maksudnya memang akan belajar secara dalam talian.

"Dari segi garis panduan itu jelas. Penjelasan juga telah diberikan kepada semua pengarah (pendidikan) negeri untuk buat keputusan segera sekiranya berdasarkan pedoman IPU,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur hari ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia Jabatan Alam Sekitar, Nilai di Negeri Sembilan mencatatkan IPU tidak sihat, iaitu 116 dan Johan Setia di Selangor (154) setakat 4 petang ini.

Menurut klasifikasi Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU antara 101 hingga 200 yang dikategorikan sebagai tidak sihat boleh memberikan kesan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak serta individu yang menghidap penyakit pernafasan.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang yang disediakan [https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main] atau memuat turun aplikasi MyJAS EQMS melalui Google Play atau App Store.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS